Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mengadap Agong: Peguam tak sependapat dengan pakar perlembagaan
Diterbitkan:  Sep 24, 2020 2:08 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Kenyataan pakar perlembagaan Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa hanya perdana menteri layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kepercayaan majoriti telah mengundang pelbagai reaksi ahli politik dan peguam.

Peguam Lim Wei Jiet, menerusi akaun Twitter menyifatkan kenyataan Dr Shamrahayu tiada asas undang-undang.

Jelasnya, merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan tahun 2010 ketika Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak, isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh ahli dewan undangan negeri (Adun).

“Sila baca kes Mahkamah Persekutuan Nizar v Zambry [2010] 2 MLJ 285 berhubung isu kehilangan majoriti boleh ditentukan oleh representasi Adun (dalam kes kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim ini ahli parlimen).

“Maka tiada halangan DSAI (Anwar Ibrahim) berjumpa YDPA (Agong),” ciapnya.

Peguam itu turut berkata hal yang sama berlaku di Kedah pada Mei lalu ketika wakil PAS, Umno dan Bersatu menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk menyatakan PH hilang majoriti.

“Prof Shamrahayu pada ketika itu membisu dan tidak keluar pendapat pun yang hanya MB Kedah boleh menghadap Sultan,” ciapnya lagi.

Shamrahayu berkata sekiranya Anwar memiliki akaun bersumpah (SD) anggota parlimen sekalipun, ia tidak boleh dibawa kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana jawatan perdana menteri belum dikosongkan.

Dia berkata Anwar patut memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin supaya perdana menteri dapat menghadap Agong untuk meletakkan jawatan atau menasihatkan pembubaran parlimen.

Shamrahayu berpendapat, Anwar perlu menggunakan Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

‘Kenapa tak cakap waktu Langkah Sheraton?’

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut membidas kenyataan Shamrahayu dan mempersoalkan mengapa kenyataan itu tidak dikeluarkan ketika Langkah Sheraton.

“Lol, hipokrit - Langkah Sheraton kamu diam? Sila duduk jauh-jauh,” ciapnya.

Pada 23 Feb lalu, negara menyaksikan tujuh hari kemelut politik selepas wujudnya ‘Langkah Sheraton’ sehingga menyaksikan tumbangnya kerajaan PH dan peletakan jawatan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Yang di-Pertuan Agong kemudian mengadakan pertemuan bersama 222 anggota parlimen, pada 25 Feb lalu bagi melihat calon perdana menteri mana yang mendapat sokongan majoriti.

Pada 29 Februari, Muhyiddin pula dilaporkan menghadap Agong, ketika Dr Mahathir masih menggalas jawatan perdana menteri sementara, bagi menyatakan jumlah sokongan majoriti yang diperolehnya.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Lihat Komen
ADS