Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya PM layak menghadap Agong, kata pakar perlembagaan
Diterbitkan:  Sep 24, 2020 10:52 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Hanya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kedudukan semasa sama ada beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti atau sebaliknya di parlimen, kata pakar perlembagaan Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Sehubungan itu, katanya, tindakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mahu menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan sokongan majoriti seperti didakwa telah mengelirukan orang ramai mengenai peranan Seri Paduka Baginda.

"Orang ramai jangan keliru kerana Anwar bukan perdana menteri," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Dr Shamrahayu berkata, sekiranya Anwar memiliki akaun bersumpah (SD) daripada anggota parlimen sekalipun, ia tidak boleh dibawa kepada baginda kerana jawatan perdana menteri masih belum dikosongkan.

“Kalau ada akaun bersumpah (SD) pun tidak boleh bawa kepada Seri Paduka kerana jawatan perdana menteri itu tidak kosong.

“Maknanya Anwar tidak perlu persembahkan kepada Agong. Apa yang perlu Anwar buat, beritahu kepada Muhyiddin tentang keadaan kepercayaan kepada beliau sebagai perdana menteri dan barulah Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk letak jawatan atau meminta untuk dibubarkan dewan,” katanya.

Dr Shamrahayu berkata, Seri Paduka tidak berperanan dalam menentukan siapa yang memiliki atau hilang kepercayaan majoriti dalam keadaan tiada kekosongan jawatan perdana menteri.

Beliau berkata, sekiranya berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menentukan siapa ahli parlimen yang mempunyai kepercayaan majoriti dalam dewan.

“Kalau dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri, sebab itu Agong perkenan untuk Tun Mahathir menghadap Seri Paduka. Kalau tidak, semua orang boleh cakap dia ada majoriti dan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Anwar perlu menggunakan saluran demokrasi iaitu Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin bagi membuktikan anggota parlimen Pagoh itu telah hilang kepercayaan majoriti.

Mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, katanya, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya, parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, katanya, anggota parlimen yang didakwa menyokong Anwar boleh tampil beramai-ramai bagi menyatakan pendirian agar Muhyiddin mengakui bahawa dirinya telah hilang kepercayaan majoriti.

“Kalau Muhyiddin datang kepada Agong serta menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti, barulah kuasa dan peranan Seri Paduka bermula untuk menentukan siapa yang ada majoriti," jelasnya.

Semalam Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru.

Anwar berkata, butiran mengenainya akan hanya diberikan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dia telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka pada Selasa lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan selepas baginda dimasukkan di Institut Jantung Negara (IJN).

Lihat Komen
ADS