Kes anti-murtad: Pihak berkuasa digesa bersikap adil
Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara digesa supaya bertindak adil dalam menghukum pihak yang terbabit dalam insiden demonstrasi anti-Kumpulan Artikel 11 di Pulau Pinang Mei lalu.
Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara digesa supaya bertindak adil dalam menghukum pihak yang terbabit dalam insiden demonstrasi anti-Kumpulan Artikel 11 di Pulau Pinang Mei lalu.
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berkata, selain penunjuk perasaan, penganjur forum Hak Kebebasan Beragama di Hotel Cititel, Pulau Pinang itu juga patut dihukum.
"Kalaupun penganjur mengadakan forum secara tertutup, pihak berkuasa masih boleh bertindak terhadap mereka kerana mereka membincangkan isu yang sensitif, isu yang menimbulkan keresahan pada umat Islam," tegas Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid.
Beliau mengulas tindakan pihak berkuasa mahu mendakwa dua pemimpin PAS Pulau Pinang dan seorang ulama bebas di mahkamah seksyen Jumaat ini atas tuduhan mengadakan perhimpunan haram di hadapan Hotel Cititel Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.
Menurut beliau, pihak berkuasa atau kerajaan kena bersikap adil dalam menangani soal ini kerana pihak penganjur forum tidak boleh dilepaskan begitu sahaja daripada sebarang tindakan.
Katanya, ini kerana merekalah yang melakukan provokasi hingga menyebabkan timbulnya kemarahan umat Islam hingga berlakunya demonstrasi tersebut.
"Pihak penganjur forum telah menyentuh sensitiviti umat Islam, Jabatan Peguam Negara harus memberi perhatian pada tindak-tanduk pihak penganjur,"ujarnya lagi.
Beliau juga menegaskan, selain melanggar Akta Polis 1967 kerana membincangkan isu-isu sensitif secara terbuka, pihak penganjur juga melakukan satu kesalahan jenayah syariah.
'Tidak boleh dipertikaikan'
Jelas beliau, di bawah enekman undang-undang agama Islam negeri-negeri, murtad telah dikategorikan sebagai satu jenayah syariah.
"Oleh itu apabila Kumpulan Artikel 11 mendakwa murtad adalah hak individu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, mereka sebenarnya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang.
"Mereka tidak boleh membaca Perlembagaan Persekutuan secara berasingan dari enekman agama Islam negeri-negeri kerana enakman berkenaan termaktub sebagai sebahagian dari perlembagaan berkenaan.
"Dalam jadual 9, Perlembagaan Persekutuan ditegaskan bahawa kerajaan negeri berhak menegakkan undang-undang berkaitan agama Islam. Oleh itu, hak kerajaan negeri untuk menguatkuasakan enakman agama Islam ini tidak boleh dipertikaikan
"Jelas sekali perbuatan Kumpulan Artikel 11 ini satu jenayah syariah dan sewajarnya dihukum di bawah enekmen agama Islam negeri-negeri," tambah Azmi.
Azmi berkata, semua pihak atau kumpulan juga perlu ingat bahawa kedudukan agama Islam di negara ini adalah salah satu daripada tiga perkara yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak di Malaysia.
Dua lagi perkara yang tidak boleh dipersoalkan kedudukannya di negara ini ialah kedudukan raja-raja Melayu dan hak istimewa bumiputera.
Pengerusi Teras itu menambah, tindakan pelbagai pihak mencabar kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah kebelakangan ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

