Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Biden selar Trump: Kamu presiden terburuk pernah dimiliki Amerika

GLOBAL l Presiden Republikan Donald Trump dan saingannya dari Demokrat Joe Biden saling menyerang satu sama lain dalam penampilan sulung mereka dalam debat presiden dengan menyentuh mengenai penularan koronavirus, ekonomi dan cukai. Trump juga sering mencelah dan menggangu lawannya itu.

Walau pun pengacara Chris Wallace cuba sedaya upaya untuk mengendalikan perbahasan secara profesional, namun kedua-dua pesaing itu saling mencelah dan melontarkan penghinaan sesama mereka sehingga menyukarkan mereka untuk menyampaikan maklumat masing-masing.

"Tolong diam. Ini bukan kelakuan presiden," kata Biden yang berulang kali diganggu ketika perbahasan bahagian pertama.

Biden melabel Trump sebagai "badut" dan "rasis" dan memberitahunya: "Kamu presiden terburuk yang pernah dimiliki Amerika."

Trump pula menjawap: "Tidak ada apa yang bijak tentang kamu, Joe."

Biden mempersoalkan kepemimpinan Trump dalam menguruskan penularan koronavirus, dan menuduh Trump telah panik serta gagal melindungi rakyat Amerika kerana dia lebih mementingkan ekonomi.

"Dia panik atau dia hanya tumpu kepada pasaran saham," kata Biden mengenai Trump, yang menyokong negeri-negeri supaya membuka semula ekonomi mereka dan memandang ringan ancaman wabak tersebut.

"Ramai orang mati dan ramai lagi yang akan mati kecuali dia boleh menjadi lebih bijak dengan lebih cepat," kata Biden.

Trump membantah penggunaan kata-kata “bijak” oleh Biden.

"Kamu lulus sama ada di kedudukan paling bawah atau yang paling rendah di kelas kamu. Jangan sekali-kali menggunakan perkataan bijak dengan saya. Jangan sekali-kali menggunakan perkataan itu," kata Trump.

Dia kemudian mempertahankan pendekatannya mengenai pandemik itu, yang telah menyaksikan lebih dari 200,000 orang di Amerika Syarikat mati manakala jutaan lagi rakyat Amerika kehilangan pekerjaan mereka.

"Kami telah lakukan tugas yang hebat," kata Trump.

"Saya beritahu kamu, Joe, kamu tidak mungkin dapat melakukan tugas yang telah kami lakukan.”

Dengan lebih satu juta orang Amerika sudah membuat keputusan mereka dalam pengundian awal dan masa semakin suntuk, pertaruhan dalam perbahasan ini adalah besar sebelum pilihan raya presiden pada 3 November ini.

Kedua-dua calon itu tidak bersalaman apabila mula berdebat, sebagai mematuhi protokol mengenai pejarakan sosial kerana penularan koronavirus.

Biden, 77, sedang mendahului Trump, 74, secara konsisten dalam pungutan suara nasional, walaupun tinjauan di beberapa negeri utama menunjukkan keputusan adalah lebih sengit.

- Reuters

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama yang memetik Agensi Anadolu melaporkan moderator Chris Wallace mengecam Trump, yang menurutnya lebih kerap mengganggu dan menyampuk ketika Biden berbahas, berbanding bekas naib presiden itu.

"Tuan Presiden, tolong berhenti," kata Wallace setelah beberapa kali presiden mengganggu Biden.

"Negara akan lebih baik jika kita biarkan kedua-dua berucap dengan sedikit gangguan. Saya memohon kepada anda, tuan, untuk berbuat sedemikian."

Biden juga mengecam Trump, yang disifatkannya “presiden terburuk yang pernah Amerika ada."

“Trump bolehkah anda diam sekejap" kata Biden memandangkan presiden itu beberapa kali mencelah.

“Boleh tolong diam, kawan?" tambah Biden.

Debat itu berlangsung di Cleveland, Ohio, merangkumi pelbagai topik, termasuk perkauman, pencapaian calon, pandemik Covid-19, keganasan di bandar-bandar Amerika dan perubahan iklim.

Semasa perbahasan, Trump berulang kali dipaksa untuk mempertahankan rekod pencapaian pentadbirannya.

Trump seringkali berdepan kritikan mengenai caranya menangani isu ketuanan kulit putih, terutama setelah perhimpunan besar-besaran di Charlottesville, Virginia yang menarik ratusan neo-Nazi dan nasionalis kulit putih.

Biden menggelar presiden sebagai "rasis" yang menggunakan "bermacam-macam strategi politik untuk mencetuskan kebencian kaum, perpecahan kaum."

"Ini bukan tahun 1950. Semua strategi politik mengenai perkauman sudah tidak sesuai lagi. Pinggir bandar pada umumnya kini telah bergabung," kata Biden.

Biden terus mendahului dengan selesa dalam pengundian di seluruh negara, meletakkan beban di bahu Trump untuk mengubah status quo.

Masih belum jelas sama ada kedua-dua calon dapat menghasilkan banyak perbezaan dalam kalangan pengundi yang setakat ini masih belum membuat keputusan.

Biden dan Trump sekali lagi akan berada di pentas debat pada 15 dan 22 Oktober.

Sementara itu, Naib Presiden Mike Pence dan Senator Kamala Harris akan berdebat pada 7 Oktober, satu-satunya acara debat untuk calon naib presiden.

Lihat Komen
ADS