Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Covid-19 dari Sabah: Pakar kesal peraturan kuarantin tak tegas

  • Nota editor: Laporan ini dikemas kini untuk memasukkan pengumuman terkini yang dibuat kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Beberapa pakar mempersoalkan keputusan Kementerian Kesihatan membenarkan mereka yang diuji negatif Covid-19 setelah pulang dari Sabah untuk menamatkan kuarantin di rumah ketika kes wabak itu semakin meningkat di seluruh negara.

Mulai 23 Sept, semua negeri di Semenanjung melaporkan kes Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah, dengan dua kluster dikesan di Selangor dan Johor.

"Perlu jalani kuarantin walaupun setelah ujian awal di KLIA / KLIA2 negatif. Ujian negatif awal bukan bermaksud pelancong tidak akan positif pada hari-hari mendatang,” kata pakar penyakit berjangkit Dr Christopher Lee di Twitter.

Bekas timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan itu berkata, saringan di lapangan terbang dan kuarantin wajib selama 14 hari dapat mengelakkan jangkitan seperti yang berlaku terhadap dua kes membabitkan pelajar sekolah di SMK Pandamaran Jaya di Klang.

Pelajar berkenaan merupakan sebahagian kluster Jalan Apas yang dijangkiti wabak itu daripada abang mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna dari 13 hingga 16 September.

"Lihatlah jumlah kes yang ada kaitan dengan Sabah hari ini. Mungkin kita perlu menangani situasi semasa dengan cara berbeza berbanding kluster terdahulu.

"Bergantung kepada hanya satu ujian semasa masuk memang membimbangkan kecuali ia dikaitkan dengan kuarantin," kata Lee hari ini.

Dua puluh lima daripada 86 kes yang dilaporkan hari ini mempunyai kaitan dengan Sabah, tidak termasuk kes dari kluster terdahulu yang mana indeks kesnya pernah mengunjungi Sabah.

Seorang pakar KKM yang sudah bersara, Dr Amar Singh berkata jangkitan Covid-19 boleh merebak ke seluruh negara tanpa adanya ujian yang dilakukan secara berulang dan kuarantin wajib.

"(Keputusan) negatif tidak boleh dipercayai sepenuhnya untuk pastikan orang itu tidak dijangkiti Covid-19. Kuarantin dan ujian berulang selama 14 hari adalah sangat penting,” katanya.

Kementerian Kesihatan mewajibkan ujian untuk semua individu yang kembali dari Sabah mulai 27 Sept, tetapi mereka yang diuji negatif dan tidak mempunyai kontak dengan pesakit, tidak perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Bagaimanapun mereka digalakkan melakukan kuarantin kendiri secara sukarela dan melakukan ujian sekali lagi pada hari ke-13 di klinik kerajaan.

Selangor paling banyak kes berkaitan perjalanan ke Sabah

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan keputusan membenarkan individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif Covid-19 untuk tidak menjalani kuarantin. 

Noor Hisham berkata, ini berdasarkan pengalaman di negeri lain yang pernah mengalami wabak setempat sebelum ini.

Ini termasuk di Kedah, di mana wabak itu pertama kali dicetuskan oleh seorang lelaki yang kembali dari India dan melanggar perintah kuarantin di rumah.

Negeri itu juga mengalami lonjakan kes setelah seorang lelaki diuji positif, selepas menghadiri satu upacara memperingati kematian.

Noor Hisham berkata walaupun beberpa kawasan di Kedah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan, mereka yang diuji negatif Covid-19 dibenarkan meninggalkan rumah mereka.

Bagaimanapun data menunjukkan wabak di Kedah tidak merebak di luar daripada Perlis dan Pulau Pinang.

Sebaliknya, Sarawak dan Labuan adalah satu-satunya negeri dan wilayah yang tidak mengumumkan kes yang berkaitan perjalanan ke Sabah dalam tempoh seminggu lalu.

Sebanyak 67.3 peratus kes yang disebarkan di luar Sabah sejak 22 Sept berkaitan dengan perjalanan ke negeri itu.

Kes pertama penularan tempatan di Semenanjung yang melibatkan sejarah perjalanan ke Sabah dipercayai membabitkan seorang pekerja United Overseas Bank yang mengunjungi Semporna.

Bank itu mengumumkan kes berkenaan pada lewat petang 22 Sept. 

Kes ini direkod dalam data KKM pada 23 Sept, dipercayai kerana keputusan ujian itu diperoleh setelah waktu pengumpulan data tamat sehari sebelum itu.

Sejak tarikh itu, 99 kes jangkitan tempatan yang mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah direkodkan termasuk 39 kes di Selangor.

Ini termasuk mereka yang daripada kluster Jalan Apas di Klang, di mana kes indeks adalah pasangan yang mengunjungi Semporna dan Tawau dari 13 hingga 16 Sept. Anggota keluarga mereka juga dijangkiti penyakit berkenaan.

Hari ini Parti Amanah menggesa semua anggotanya yang berkempen di Sabah pada pilihan raya negeri Sabtu lalu melakukan ujian dan menjalani kuarantin di rumah setelah anggotanya di Pulau Pinang didapati positif apabila kembali dari negeri ini.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai (PKR), Fahmi Fadzil berkata, pusat khidmatnya ditutup buat sementara waktu setelah seorang kakitangan diuji positif Covid-19, sekembalinya dari Sabah.

Dua pemimpin Umno dari Lembah Klang juga dikesan positif setelah pulang dari berkempen di Sabah, manakala beberapa pemimpin Umno yang lain, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi menjalani kuarantin setelah mempunyai kontak dengan calon pilihan raya, yang disahkan positif wabak berkenaan.

Pada 28 Sept lalu, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bersasar dikenakan di daerah Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Tawau, setelah lebih 1,000 kes dikesan di daerah terbabit bulan ini.

Perintah itu yang melibatkan lebih daripada 900,000 penduduk akan berlangsung sehingga 12 Okt.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS