NGO Islam anjur perhimpunan raksasa di Bangi
Satu perhimpunan raksasa anti-murtad negeri Selangor akan diadakan Ahad ini di Bandar Baru Bangi bagi menyatakan bantahan menyeluruh umat Islam terhadap program Gabungan Artikel 11 yang mempromosi kebebasan hak bertukar beragama.
Satu perhimpunan raksasa anti-murtad negeri Selangor akan diadakan Ahad ini di Bandar Baru Bangi bagi menyatakan bantahan menyeluruh umat Islam terhadap program Gabungan Artikel 11 yang mempromosi kebebasan hak bertukar beragama.
Kira-kira 20,000 orang dijangka menghadiri majlis di Dataran Surau An-Nur, Fasa 1, Bandar Baru Bangi, Selangor (berhampiran Darussyifaa') yang akan bermula pada jam 9 pagi itu.
Ini merupakan perhimpunan anti-murtad secara terbuka yang pertama dianjurkan selepas perjumpaan di masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Duta mendapat sambutan besar dari penduduk Islam ibukota. Lebih 10,000 menghadiri majlis tersebut.
Menurut Pengerusi Front Bertindak Anti-Murtad (Forkad), Ridzuan Mohamad Nor, majlis itu anjuran bersama beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi/Surau-Surau, Gabungan NGO Bandar Baru Bangi, Jaringan Siswazah Malaysia (Jasa) dan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).
Program gabungan Artikel 11
Antara pemimpin NGO yang akan berucap di majlis itu ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad, peguam Sulaiman Abdullah, Prof Dr Abdul Aziz Bari, peguam Mohamed Hanipa Maidin (Pembela), peguam Datuk Muhamad Burok dan peguam Zulkifli Noordin.
Menurut Ridzuan, kerajaan telahpun memberikan respons kepada program-program Gabungan Artikel 11 ini semalam dan oleh itu adalah tidak salah bagi NGO menjalankan sepenuhnya isu ini kepada umat Islam.
Selasa lalu, Perdana Menteri telah mengingatkan pihak-pihak yang membangkitkan isu kebebasan bertukar agama dan mempertikaikan kuasa Mahkamah Syariah serta kedudukan agama Islam di negara ini supaya memberhentikan akitiviti mereka kerana ia adalah isu yang sensitif.
Ridzuan juga menjelaskan perhimpunan itu tidak bertujuan memprovokasi mana-mana pihak, cuma untuk menyatakan pendirian umat Islam terhadap hak dan kedudukan agama Islam di negara ini.
Beliau juga menyatakan perhimpunan ini tidak memerlukan permit polis dan memberi jaminan ia akan berlangsung dalam suasana aman.

