Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) wajar menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang terjejas dengan arahan saat-saat akhir dikeluarkan kerajaan, kata seorang pemimpin PKR.
Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata bantuan tersebut boleh dalam bentuk bayaran balik kos perjalanan atau tambahan kepada Bantuan Prihatin Nasional yang diterima mereka.
Katanya yuran untuk tahun ini dan tahun depan juga wajar diberikan rebat.
"Saya juga menyeru KPT menyediakan pengangkutan yang bersesuaian seperti bas kepada pelajar yang perlu kembali ke rumah masing-masing, dan membawa mereka semula ke universiti kelak.
"Rakyat tidak patut menangggung bebanan tambahan tatkala ramai yang dalam kesempitan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia dibuat ketika Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, menjadi sasaran kemarahan orang ramai kerana dianggap lewat mengeluarkan arahan berkaitan pengurusan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) negara.
Kelewatan itu - yang dibuat ketika kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 semakin meningkat - mendatangkan banyak kesukaran kepada pelajar.
Sesetengahnya sudah tiba di IPT masing-masing namun dikatakan tidak dibenarkan masuk ke asrama, manakala sebahagian yang lain sudah memberi tiket dan terbazir begitu saja.
Bagaimanapun Noraini sudah meminta maaf atas kelewatan pengumuman tersebut, semalam.
Jadikan asas SOP
Nik Nazmi berkata masyrakat faham ada tindakan yang perlu diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan orang awam namun pengumuman yang tidak jelas serta berubah-ubah sentiasa mengelirukan orang ramai.
Katanya ia juga membawa kesan kewangan yang ketara kepada mereka yang terlibat terutama ketika keadaan ekonomi kian menghimpit dan moratorium untuk pembayaran pinjaman sudah berakhir.
Menurut Nik Nazmi KPT juga perlu menyediakan pelan jangka panjang komprehensif bagi mengelakkan kesukaran seumpama itu berulang lagi pada masa depan.
Tambahnya wabak Covid-19 sudah ada sejak lebih setengah tahun namun masih belum ada penyelesaian dalam jangka masa terdekat.
"Tanpa pelan jangka panjang untuk menangani isu-isu berkaitan pendidikan tinggi, sudah pasti kita akan berhadapan situasi sama semula apabila berlaku perkara di luar jangkaan," katanya.
Sebagai tambahan kepada SOP sedia ada, kata Nik Nazmi, dia menyeru KPT menyediakan pelan atau kerangka jangka masa panjang untuk menjamin sektor pendidikan mampu bertahan semasa menghadapi cabaran Covid-19.
"Kerangka ini boleh dijadikan asas kepada SOP pada masa hadapan dan dijadikan panduan untuk setiap IPT menyediakan pelan mereka sendiri sejajar dengan keperluan pedagogi setiap bidang pengajian yang berbeza.
"Ia juga perlu dilengkapi dengan pelan luar jangka untuk situasi yang berbeza, termasuk kemungkinan kenaikan kes pada masa akan datang serta mengambilkira risiko pandemik-pandemik lain pada masa depan," katanya.
