Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Batu Sapi: Tuntutan perlembagaan di tengah wabak

Susulan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu, pilihan raya kecil perlu diadakan di saat peningkatan kes Covid-19 di Malaysia, terutama di Sabah.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari kerusi itu dikosongkan. Berdasarkan anggaran, PRK Batu Sapi perlu diadakan selewat-lewatnya 1 Disember ini.

Ia menimbulkan kerisauan apatah lagi peningkatan kes Covid-19 turut dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah yang berakhir 26 September lalu. Batu Sapi juga terletak di Sabah.

Malaysiakini menghubungi beberapa penganalisis politik dan mereka tampak berbelah bahagi - ada yang mengatakan ia perlu diteruskan, ada juga yang berpandangan sebaliknya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed mencadangkan agar parti-parti politik membuat gesaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar PRK ini ditangguhkan.

"Bagi saya ini jalan terbaik...berdasarkan perkembangan Covid-19 yang masih menjadi ancaman kepada penduduk Sabah," katanya.

Marthada berkata ada negara yang menangguhkan pilihan raya susulan ancaman wabak tersebut. Antaranya New Zealand yang menangguhkan pilihan raya umum daripada 19 September kepada 17 Oktober ini.

"Walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan tempoh 60 hari, jika kita lihat keadaan semasa khususnya di Sabah, maka sebenarnya keperluan untuk menangguhkan (PRK Batu Sapi) ada," katanya lagi.

Menurut Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, penangguhan PRK melebihi 60 hari tidak mungkin boleh dilakukan dan pihaknya akan bermesyuarat pada minggu depan untuk berbincang tentangnya.

Pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi pula berkata ia hanya boleh ditangguhkan menerusi pengisytiharan darurat berdasarkan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding dalam PRK itu.

Malah dia juga mencadangkan agar kerusi Parlimen Batu Sapi dikekalkan kepada Warisan.

Marthada menyifatkan ia satu cadangan yang baik tetapi tetap berasakan PRK Batu Sapi perlu ditangguhkan.

"Dalam membuat keputusan, SPR perlu berbincang dengan semua pihak yang terlibat, parti-parti politik, berkenaan cara terbaik bagi mengadakan PRK ini dan jika pilihan yang terbaik adalah dengan menangguhkannya," katanya lagi.

Berbeza pula dengan Profesor Madya Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menegaskan PRK tidak boleh ditangguhkan.

 "Tak boleh tangguh sebab tiada peruntukan Perlembagaan yang membenarkan penangguhan," kata Azizuddin ketika dihubungi.

Kebimbangan berkenaan PRK Batu Sapi bukan tanpa asas, di saat Sabah mencatatkan antara kes aktif tertinggi setakat ini.

Peningkatan kes di negeri lain juga dikaitkan dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah ketika tempoh pilihan raya negeri.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata kaedah kempen yang baru diperlukan jika PRK Batu Sapi memang tidak boleh dielakkan.

Antaranya, menurut Presiden MMA Prof Dr Subramaniam Muniandy, ujian saringan rambang perlu sebelum kempen, tiada lagi perhimpunan besar serta sebaiknya hanya calon yang berkempen.

'Yang penting patuh SOP'

Turut berkongsi pandangan adalah Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang berkata PRK itu sama sekali tidak perlu ditangguhkan dengan syarat semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) itu berkata lonjakan kes mutakhir ini akibat sikap alpa sesetengah pihak dalam mematuhi SOP.

Ia termasuklah gagal untuk kuarantin selama dua minggu hanya kerana ujian saringan pertama yang menunjukkan keputusan negatif, katanya yang mengingatkan tempoh inkubasi koronavirus iaitu selama 14 hari.

"PRK tiada masalah dan tidak perlu ditangguhkan, sebaliknya SOP yang perlu diperketatkan...Dan ini adalah tanggungjawab calon, pengundi dan pihak yang terlibat dalam kempen," katanya.

Kini sebanyak tujuh daerah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan negeri itu merekodkan jumlah kes baru tertinggi dengan 274 kes, susulan peningkatan kegiatan saringan oleh KKM.

Dia juga menganggarkan pihaknya memerlukan tiga atau empat minggu lagi untuk mengawal penularan Covid-19 di sana.

Lihat Komen
ADS