Malaysiakini
BERITA

Pemuda Umno cadang BN dan PN tak tanding di Batu Sapi

Diterbitkan

Susulan gelombang baru Covid-19 yang melanda negara, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya BN dan Perikatan Nasional tidak bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

PRK itu dijangka diadakan susulan kematian penyandangnya, mendiang Liew Vui Keong dari parti Warisan.

“Ini mengambil kira kegawatan penularan Pandemik Covid-19 yang makin meluas di negeri Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat.

“Cadangan yang sama juga disyorkan kepada semua parti-parti politik lain termasuk parti PN bagi mengekalkan status quo kedudukan Parlimen Batu Sapi di bawah parti Warisan, menjelang PRK yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Fokus ketika ini harus diberikan untuk membendung wabak virus Covid-19 daripada terus menular, di samping membantu rakyat menangani keperitan hidup yang terkesan dengan kegawatan ekonomi akibat pandemik yang tiada berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Pada 2 Okt lalu, Liew yang juga merupakan bekas menteri undang-undang di era Pakatan Harapan meninggal dunia yang dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

PRN Sabah yang diadakan pada akhir bulan lalu telah mengundang kemarahan masyarakat terutamanya di media sosial, dengan kebanyakannya menyalahkan ahli politik kerana didakwa bertanggungjawab atas lonjakan jumlah kes positif Covid-19 baru-baru ini susulan aktiviti berkempen di situ.

Semalam, sebanyak 691 kes baru kes Covid-19 dilaporkan, yang merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia.

Kes paling banyak direkodkan di Kedah (397 kes), diikuti Sabah (219) dan Selangor (38).

Ia kemudian diikuti oleh Perak (lapan kes), Negeri Sembilan (7), Johor (6), Sarawak dan Pulau Pinang dengan tiga kes serta Putrajaya, Terengganu dan Labuan masing-masing dengan satu kes.

Dalam perkembangan sama hari ini, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berharap parti politik bersetuju dengan cadangan supaya Warisan diberi laluan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi tanpa perlu diadakan PRK.

Lim berkata, dia menyokong cadanganyang sebelum ini diajukan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo itu memandangkan situasi semasa Covid-19 ketika ini.

Jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, ia penting bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengundi di kawasan tersebut serta rakyat keseluruhannya terpelihara.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh sebelum ini berkata PRK itu harus diteruskan seperti ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalannya, Azmi Sharom juga memberikan jawapan serupa ketika dihubungi. Katanya, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Sebagai rekod, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh sesuatu kerusi itu dikosongkan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.