Malaysiakini
BERITA

Muhyiddin minta Umno perinci syarat baru dengan PN

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Okt 2020, 7:41 pagi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.

Langkah itu diambil ketika Umno mendakwa diketepikan dan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, sekali gus boleh menyebabkan kejatuhannya.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, permintaan itu dinyatakan dalam surat Muhyiddin kepada Umno yang dihantar melalui Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin.

"Permintaan tersebut adalah susulan sesi sidang video antara Perdana Menteri dan saya selaku Setiausaha Agung Umno serta Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada petang Rabu lalu.

"Pada sesi berkenaan, sebahagian yang dibincangkan merupakan perkara berkaitan syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis berdasarkan keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno pada Selasa lalu," katanya dipetik Sinar Harian.

Ahmad yang ditemui pada Majlis Bantuan kepada Mahasiswa bagi Parlimen Pontian di Benut hari ini, juga ditanya apakah syarat baru itu merupakan satu 'ugutan politik'.

"Saya hanya mengemukakan fakta bahawa Barisan Nasional (BN) ada nombor yang menunjukkan jumlah Ahli Parlimen terbanyak iaitu 59 kerusi.

"Syarat baharu dibuat selepas Umno meneliti perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana perlu ada perjanjian bertulis," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Umno tidak berhasrat untuk memfailkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, lapor Harian Metro.

Katanya, desakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah agar undi tidak percaya dibuat terhadap Muhyiddin merupakan tindakan peribadi dan Umno tidak terbabit.

Dia juga menafikan Umno berpecah antara kumpulan yang menyokong Muhyiddin dan kumpulan yang ingin membentuk kerajaan baru dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Tidak timbul isu atau dakwaan bahawa Umno telah berpecah seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.