Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mesyuarat MN bincang penyertaan Bersatu malam ini dibatalkan

Mesyuarat yang sepatutnya dijadual malam ini bagi membincangkan penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN), dibatalkan.

Menurut setiausaha agung bersama sekretariat MN, Annuar Musa, ia dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Tiada (mesyuarat). Ada yang hadir tapi dibatalkan atas nasihat MKN," kata Annuar kepada media.

Ini selepas sumber mengesahkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan esok di Pahang juga dibatalkan, atas alasan Lembah Klang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang dilihat keluar kira-kira jam 11.05 malam, juga mengesahkan tiada mesyuarat diadakan.

"Tak ada mesyuarat. Pejabat saya di tingkat 28, pejabat Pemuda. Tak ada (mesyuarat)," katanya kepada pemberita.

Sementara itu Naib Presiden PAS Idris yang dilihat keluar tidak lama kemudian turut menepis soalan pemberita ketika ditanya apakah ada perbincangan mengenai penyertaan Bersatu ke dalam MN.

"Tak ada apa, nak balik dah.

"Hujan, hujan," katanya kepada pemberita.

Turut dilihat hadir sebelum itu ialah ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Nik Muhammad Zawawi Salleh. 

Pagi tadi, Annuar berkata soal penyertaan Bersatu ke dalam MN sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Penyertaan Bersatu ke dalam MN menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi apabila ura-ura kini bertiup kencang bahawa bakal berlakunya perubahan pada landskap politik tanah air.

Ini terutamanya, apabila Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN).

Soal penarikan Umno daripada PN itu pula sepatutnya dibincangkan oleh mesyuarat MT Umno di Pahang esok, tetapi turut dibatalkan. 

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Manakala MN pula merupakan gagasan kerjasama antara PAS dan Umno.


Lihat Komen
ADS