mk-logo
Berita
Sultan Selangor dukacita ahli politik asyik bercakaran
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan berhubung kemelut politik negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata Sultan Sharafuddin turut berdukacita dengan tindakan pemimpin parti politik yang tidak habis-habis berbalah.

Oleh demikian, Muhamad Munir berkata baginda Sultan bertitah agar semua pihak terutama ahli politik di negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing, selain sentiasa fokus dalam membantu rakyat dan negara menangani masalah penyebaran wabak Covid-19 serta membina semula ekonomi yang teruk terjejas.

"Rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

"Baginda merasa dukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat gejala wabak Covid-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Kenyataan Biro Politik Umno pada 13 Oktober sebelum ini menyatakan parti itu sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan mahukan syarat baru ditetapkan menyebabkan situasi menjadi semakin rumit.

Ini merupakan isyarat rasa tidak puas hati para pemimpin Umno dan beberapa pimpinannya kini secara terbuka mengkritik kepimpinan Muhyiddin.

Seorang pemimpin Umno juga berkata pemimpin partinya harus diberi jawatan timbalan perdana menteri bersama dengan beberapa jawatan kanan kabinet yang lain.

Sementara itu, ada juga tekanan untuk Dewan Rakyat membahaskan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim pula mendakwa mempunyai jumlah majoriti untuk membentuk kerajaan baru, namun sehingga kini belum dapat dilaksanakan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS