Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang guru sekolah komuniti di sebuah pulau di Semporna, Sabah, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pusat-pusat kuarantin di pulau-pulau yang mempunyai kes positif Covid-19.

Ini ekoran kesukaran dihadapi petugas perubatan yang datang ke kawasan kepulauan apabila sebahagian penduduk lari daripada menjalani saringan komuniti, serta kesukaran meyakinkan mereka yang positif untuk ke hospital di tanah besar bagi mendapatkan rawatan.

Menurut guru Iskul Sama Dilaut Omadal (Sekolah Bajau Laut Omadal) di Pulau Omadal, Jefry Musa, pusat kuarantin itu boleh dibina di sekolah-sekolah kebangsaan yang sedia ada di pulau-pulau berkenaan, bagi memudahkan proses saringan dan kuarantin dijalankan.

“Bila saya cakap pusat kuarantin, ada yang salah faham, ada yang kata takkanlah kita mahu bina bangunan baru.

“Tidak, di setiap pulau sebenarnya ada sekolah kebangsaan untuk tahun 1 hingga 4. Setiap pulau ini ada. Kita boleh gunakan sekolah-sekolah itu sebagai tempat untuk kuarantin mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Meskipun memahami sentimen negatif banyak pihak terhadap sebahagian penduduk yang lari, terutama komuniti Bajau Laut, katanya, dilema yang dihadapi komuniti itu juga haruslah ditanggapi.

Antaranya, kata Jefry, Bajau Laut adalah komuniti yang boleh dikatakan hidup secara tertutup, jarang naik ke darat serta tiada keluarga di tanah besar, justeru mereka takut dibawa keluar dari tempat mereka.

Lari dari pemeriksaan

Selain itu, mereka juga ditakut-takutkan bahawa saringan Covid-19 adalah proses yang menyakitkan, menyebabkan mereka lari daripada menjalani saringan penyakit tersebut, selain gusar mereka akan ditangkap polis.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengakui cabaran dihadapi petugas perubatan di Sabah apabila penduduk kampung lari bersembunyi apabila didatangi pasukan itu, sehingga memaksa mereka meminta bantuan polis.

Malah, ada penduduk yang harus dipaksa untuk dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Menurur Dr Noor Hisham, pendidikan dari segi kesedaran dan memahami penyakit sedikit kurang di Sabah berbanding dengan Malaysia Barat.

Perkara sama turut dikongsi Jefry di Facebooknya beberapa hari lalu, apabila suasana perumahan Bajau Laut di Pulau Omadal jadi sunyi sepi apabila pegawai perubatan datang untuk membuat saringan komuniti, kerana penduduk lari menyorok di rumah, hutan dan di belakang pulau.

Malah dakwa Jefry, situasi sama turut berlaku di Pulau Denawan dan Kampung Bangau-Bangau.

Jefry membantu petugas perubatan dengan memujuk sebahagian penduduk dan berjaya membawa 50 orang untuk diperiksa, namun dia kurang bersetuju jika kekerasan digunakan seperti melibatkan pihak polis, kerana ia hanya akan menyebabkan penduduk lari.

Bagaimanapun dalam hantaran terbarunya, Jefry menjelaskan bahawa perkongsiannya bukanlah merujuk kepada semua penduduk di Pulau Omadal, tetapi lebih merujuk kepada komuniti Bajau Laut yang rata-ratanya dianggap orang tanpa negara kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Saya hanya menceritakan tentang apa yang saya tahu dan alami pada penduduk Bajau Laut. Tentang situasi/keadaan penduduk tempatan, saya minta maaf saya bukan ahli atau wakil yang tahu.

“Saya harap semua berhenti mengaitkan catatan saya dengan penduduk tempatan di Pulau Omadal,” katanya di Facebook.

Tiada prosedur jelas

Ketika dihubungi, jelas Jefry, daripada pemetaan yang dibuat pihak sekolah di Pulau Omadal yang mempunyai kira-kira 1,000 orang penduduk itu, didapati 164 buah rumah atau kira-kira 60 peratus merupakan penduduk tanpa kerakyatan, manakala 60 ke 70 lagi merupakan rumah penduduk warganegara.

Jefry percaya keadaan di pulau itu kini kritikal, lebih-lebih lagi ada penduduk yang disahkan positif tetapi enggan dibawa ke hospital dan masih bergerak bebas di pulau.

“Kami di sini, keadaan macam normal, tiada yang berkurung. Orang masih pergi ke laut, masih bermain bola tampar, berlari-lari, budak bermandi apa semua,” katanya memberikan gambaran.

Memburukkan keadaan, katanya, tidak ada prosedur jelas berkaitan Covid-19 buat penduduk pulau, malah ketika dia sendiri berjumpa pihak tertentu yang dirasakan dapat membantu, mereka juga gagal memberikan jawapan jelas yang dapat membantu penduduk pulau itu.

“Bila tidak ada satu kejelasan, itu petanda yang keadaan tidak terkawal,” katanya.

Setakat dihubungi beberapa hari lalu, kata Jefry, Pulau Omadal masih belum menerima bantuan makanan daripada kerajaan.

Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Jefry dan pihak sekolah mengambil inisiatif sendiri bagi membantu mengekang penularan Covid-19, terutamanya di perkampungan Bajau Laut di Pulau Omadal.

Malah, dia sendiri mengakui cabaran dan dilema yang terpaksa dihadapi petugas perubatan apabila berhadapan kejadian penduduk yang asyik lari apabila datang ke kawasan pulau bagi menjalankan saringan komuniti.

Antara yang diusahakan adalah menyediakan bekalan makanan sebanyak seminggu sekali selama dua minggu kepada semua penduduk Pulau Omadal, dan mereka kini dalam proses mencari dana.

Mereka juga sedang berbincang dengan orang kampung untuk mengambil inisiatif sendiri seperti saranan pemakaian pelitup muka, perintah berkurung di rumah, serta prosedur operasi standard (SOP) lain seperti mengehadkan individu yang keluar dari sesebuah rumah.

“Kami (pihak sekolah) tak ada kuasa, tapi disebabkan anak-anak murid kami di sini, jadi kami sedang berbincang dengan orang kampung untuk membuat inisiatif sendiri,” katanya lagi.

Sekolah itu merupakan sekolah alternatif dalam komuniti yang digerakkan oleh beberapa aktivis dan petugas bagi memberi pendidikan kepada anak-anak Bajau Laut yang tidak boleh bersekolah di sekolah kerajaan.

Setakat semalam, Sabah terus merekodkan kes jangkitan tertinggi dengan yang terbaru 535 kes daripada 732 kes harian dicatatkan di seluruh negara.

Tiga kluster baru turut dikesan di Sabah dikenali sebagai Kluster Basung, Kluster Inai serta Kluster Tempayan.

Lihat Komen
ADS