Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Meskipun Langkah Sheraton baru sahaja berlaku pada bulan Februari lepas, insiden ini telah meninggalkan impak yang dahsyat kepada iklim politik Malaysia dan rakyat Malaysia masih lagi terkesan dengannya. Semua ini juga terjadi dalam tempoh negara kita masih bergelut dengan COVID-19.

Kini, politik khianat, perebutan kuasa, jawatan dan wang sudah menjadi wajah utama politik negara.

Beberapa bulan pertama selepas insiden Langkah Sheraton adalah sangat membebankan untuk orang ramai dan saya juga secara peribadi. Saya telah membuat pilihan untuk tidak bersama-sama kerajaan Perikatan Nasional. Pilihan ini bermakna, peruntukan wang untuk kawasan saya akan dibekukan dan ditarik semula.

Saya juga telah dibuang parti yang saya asaskan bersama. Parti pertama saya dalam dunia politik. Perjalanan untuk menjadi ahli politik yang jujur sangar mencabar.

Saya ditawarkan untuk mengekalkan jawatan Menteri dan manfaat besar yang lain. Ini sudah semestinya bukan jalan yang mudah untuk saya dan para pengundi kawasan saya.

Tetapi, apa yang saya belajar dari keputusan ini sebagai Ahli Parlimen Muar adalah rakyat sangat menghargai ahli politik yang jujur, sanggup berpegang kepada prinsip mereka dan berusaha bersungguh-sungguh untuk rakyat walaupun ada jua cabaran yang diberi kepada ahli politik itu.

Sejurus Langkah Sheraton, mandat rakyat telah dirampas dari satu negeri ke satu negeri. Gerakan untuk mengugurkan dakwaan beberapa ahli politik terhadap mereka telah dilakukan.

Kepercayaan rakyat terhadap politik juga sangat rendah. Ini adalah perkara yang sangat menyedihkan kerana secara asasnya, Ahli-Ahli Parlimen adalah wakil rakyat di dalam badan pembuat keputusan yang paling tinggi di negara kita, iaitu institusi Parlimen. Tetapi sayangnya, kepercayaan itu sudah pudar.

Rakyat juga harus tahu bahawa krisis ini telah dijangka oleh ahli-ahli kerajaan sebelum ini, termasuklah saya. Kami telah menjangkakan sebuah perikatan yang ditubuhkan dengan tergesa-gesa, iaitu Perikatan Nasional, Muafakat Nasional plus Bersatu atau apa-apa nama yang mereka reka waktu ini, akan tidak bertahan lama dan tidak akan stabil.

Kalau kita lihat situasi hari ini, itulah yang berlaku.

Kita juga tidak boleh lupa bahawa Covid-19 hari ini mencecah sehingga tiga angka setiap hari hanya kerana wujud satu gerakan untuk merampas kuasa yang berlaku di Sabah.

Setiap hari kita mendengar banyak berita rakyat yang nazak, premis perniagaan yang terpaksa ditutup kerana penularan wabak dan pegawai perubatan yang tidak cukup tangan dan sumber untuk mengawal jumlah wabak yang semakin banyak.

Situasi ini tidak boleh berlanjutan begini. Bagi memastikan negara kita melangkah ke hadapan, kita perlukan rancangan yang belum pernah dibuat sebelum ini. Rancangan ini tidak boleh melibatkan langkah bertukar-tukar Ahli Parlimen, yang dari masa ke semasa membuktikan ianya adalah rancangan tempoh masa yang singkat sahaja.

Negara ini perlukan solusi bagi memastikan kerajaan kita dapat beroperasi di dalam waktu yang sukar ini. Sekurang-kurangnya, kita perlu untuk mengetepikan seketika politik dendam untuk kebaikan rakyat.

Walaupun rancangan ini tidak pernah berlaku sepanjang demokrasi negara kita, langkah bil “keyakinan dan pembekalan” (confidence and supply) di dalam sistem Westminster telah dibuktikan berjaya untuk memastikan semua tuntutan rakyat dipenuhi.

Pada tahun 1977, Parti Buruh yang dipimpin Jim Callaghan telah mewujudkan satu pakatan dengan Parti Liberal untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dan berupaya untuk meluluskan apa-apa rang undang- undang. Sebagai timbal balas, Parti Buruh dapat mewujudkan dasar yang seimbang dan adil bersama-sama Parti Liberal. 

Prinsip yang sama juga digunakan oleh Green Parti yang memberi sokongan kepada Parti Buruh pimpinan Jacinda Adern dan New Zealand First. Ini telah akhirnya memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memerintah dan tidak lagi dibuli dengan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah.

Asas kepada bil “keyakinan dan pembekalan” (confidence and supply) ini adalah untuk manfaat rakyat. Bagi polisi ini untuk dilaksanakan dengan baik di Malaysia, ia adalah tolak ansur yang perlu dilakukan untuk manfaat rakyat. Jalan ini sudah tentu tidak mudah; ia bukan satu seruan untuk menerima kerajaan hari ini atau bersetuju dengan cara kerajaan ini berfungsi dan bekerja. Tetapi, negara kita sedang menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku dalam menangani Covid-19 yang telah menjejaskan hidup setiap lapisan masyarakat. 

Kita sudah hilang pelabur dan makin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan sewaktu ahli-ahli politik sedang berebut kuasa.

Cadangan saya mudah. Malaysia perlu untuk dipulihkan. Kita tidak boleh mempunyai sebuah kerajaan yang setiap hari diugut oleh kleptokrat dan ahli politik yang sepanjang masa hanya tahu merungut.

Ini adalah beberapa perkara yang kita perlu desak untuk dilaksanakan:

1. Tidak ada Pilihanraya Umum sehingga kes Covid-19 menjadi stabil. Ia akan memungkinkan kerjasama bipartisan untuk tempoh 1 ke 2 tahun. Pihak pembangkang akan tetap menyemak dan imbang tanggungjawab yang perlu kerajaan laksanakan.

2. Peruntukan yang sama kepada seluruh Ahli Parlimen supaya mereka dapat berkhidmat di kawasan masing-masing. Ini akan sekaligus menghapuskan keperluan untuk mana-mana Ahli Parlimen lompat parti sementara rancangan jangka masa Panjang dilaksanakan untuk menyekat amalan lompat parti. Ini juga akan menjadi satu legasi besar sebagai Ahli Parlimen, sama ada di dalam kerajaan dan pembangkang untuk diberi sokongan penuh terhadap politik khidmat mereka.

3. Kita perlu wujudkan Jawatankuasa Bipartisan untuk meluluskan rang undang- undang yang penting. Ini dapat memastikan supaya rang undang-undang itu dapat dirangka dengan saksama.

Melalui kestabilan politik yang ditawarkan dengan amalan bipartisan, kita akhirnya akan dapat memberi fokus untuk melawan Covid-19 dan bersama-sama mereformasikan Malaysia.

Kita perlu segera melaksanakan undang-undang untuk mencegah amalan lompat parti dan juga akta pendanaan politik bagi menghakis budaya politik wang.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa perjanjian bil “keyakinan dan pembekalan” (confidence and supply) di Malaysia ini tidaklah bertujuan untuk ahli pembangkang menyertai kerajaan. Pihak pembangkang masih lagi menjadi wakil yang teguh mengangkat proses semak dan imbang. Ini bukan sesekali bermaksud gencatan senjata secara terus. Tetapi, ini adalah untuk mewujudkan kestabilan politik dalam tempoh yang sementara, sementara menjawab persoalan dan perbezaan politik melalui peti undi.

Perbandingan yang kita boleh lakukan adalah jika kita terus membenarkan status quo politik semasa untuk diteruskan, kita akan mewujudkan ketidakstabilan ekonomi yang sudah rapuh sewaktu tempoh Covid-19. Pelaburan terus asing juga akan terjejas dengan keadaan sebegini. Kita perlu untuk mengambil cara yang radikal untuk mengelakkan status quo ini dari mengancam Malaysia.

Harapan yang masih ada untuk negara kita melawan Covid-19 adalah untuk semua ahli politik bekerja bersama. Kita tidak akan sesekali lupa kepada pengkhianatan yang dilakukan terhadap mandat rakyat. Apabila tiba masa yang sesuai, kita akan tegakkan keadilan.

Tetapi, buat masa ini, kita perlu ketepikan ego kita dan segera jalankan tugas. Kita perlu untuk bekerja untuk rakyat. Kita perlu berkhidmat untuk rakyat. Itu paling utama. Malaysia diutamakan!


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN adalah Ahli Parlimen Muar, pengasas bersama Muda dan bekas Menteri Belia dan Sukan.


Lihat Komen
ADS