Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M dulu pun tak guna darurat lawan pembangkang - Mat Sabu

ULASAN | Sepanjang karier politik dari 1978 hingga tahun 2015, saya dalam PAS,  kami berlawan sebagai pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional.

Dalam perlawanan pembangkang dengan kerajaan BN yang memerintah termasuk NGO yang menentang dan mengkritik pemerintah, ada beberapa peristiwa besar yang berlaku. 

Di antaranya Peristiwa Memali yang mengakibatkan terbunuhnya penduduk tempatan dan anggota polis.

Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri juga berlaku ketegangan kaum yang dicetuskan oleh Pemuda Umno dan MCA yang mengakibatkan Operasi Lalang di mana ratusan ditangkap di bawah ISA.

Pada masa yang sama, berlaku amukan Prebet Adam di Chow Kit.

Walaupun keadaan sedemikian berlaku, Dr Mahathir tetap tidak mengisytiharkan darurat. Beliau terus berlawan dengan pembangkang menggunakan kuasanya terhadap pihak yang tidak mempunyai kuasa.

Tetapi beliau tidak menggunakan akta darurat untuk menghadapi pembangkang.

Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya sebagai timbalan perdana menteri, tercetus gerakan reformasi. Siri-siri demonstrasi besar-besaran berlaku, termasuk yang dianggap boleh mengganggu Sukan Komanwel dan kedatangan Queen Elizabeth ke Kuala Lumpur sempena sukan itu.

Perdana menteri waktu itu tidak juga cuba mengisytiharkan darurat.

Begitu juga ketika berlaku krisis matawang yang dilaporkan telah didalangi oleh George Soros mengakibatkan Ringgit Malaysia jatuh menjunam, tetapi Dr Mahathir tetap tidak mengisytiharkan darurat ekonomi pada waktu itu.

Saya sebagai pembangkang bukanlah suka kepada Dr Mahathir, perdana menteri waktu itu.

Tetapi beliau mengambil langkah berlawan dengan pembangkang dengan tidak menyalahgunakan akta darurat.

Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun tidak berlaku rusuhan atau demonstrasi besar-besaran dan semata-mata kerana beliau dijangka akan hilang kuasa, tetapi beliau ingin menggunakan akta darurat untuk mengekalkan kuasanya, bukan kerana hendak menghadapi pandemik Covid-19.

Kalau semata-mata untuk menghadapi Covid-19, kerajaan boleh menggunakan undang-undang yang ada di negara ini termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan badan-badan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang boleh digerakkan semaksima yang mungkin untuk menghadapi segala bentuk bencana.

Tidak perlu mengisytiharkan darurat.

Perisytiharan darurat hanyalah untuk menyelamatkan kerajaan pintu belakang terutama untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri.


MOHAMAD SABU ialah anggota parlimen Kota Raja, merangkap presiden Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS