Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff hairan bagaimana laporan audit syarikat kereta nasional itu yang disediakan oleh firma perakaunan Pricewaterhouse Cooper boleh bocor kepada pihak media.

"Laporan tersebutnya adalah benda sulit...bagaimana ia boleh terdedah kepada umum. Bagaimana laporan dalaman boleh sampai kepada pihak akhbar," soal beliau.

Berikutan itu, Tengku Mahalel berkata, pengurusan Proton sekarang patut menjalankan siasatan bagaimana laporan tersebut boleh bocor.

"Mereka mesti cari siapa yang membocorkannya dan mengapa," ujar beliau ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Beliau juga mempersoalkan mengapa laporan itu hanya mancakupi urusan kewangan hingga tahun 1996 sahaja.

"Mengapa setakat 1996 sahaja, mengapa tidak hingga 1995," soal beliau.

Tuntut penjelasan

Bekas CEO Proton itu mengulas laporan akhbar mingguan The Edge bertarikh 31 Julai lalu yang memetik laporan komprehensif Pricewaterhouse Coopers yang antara lain mendedahkan banyak keputusan perniagaan Proton dilakukan sebelum mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Menurut laporan itu, lembaga pengarah hanya diberitahu selepas keputusan atau perjanjian telah ditandatangani oleh pihak pengurusannya.

Menurut The Edge lagi, laporan PricewaterhouseCoopers itu menyebut bahawa sesetengah projek dilaksanakan tanpa perbincangan teliti dibuat terlebih dahulu dan berbilion ringgit dibelanjakan tanpa perbincangan yang mendalam mengenainya.

Firma audit tersebut menyediakan laporan untuk pengurusan Proton sekarang mulai September tahun lalu, dengan hasil siasatannya dibuat menjangkau jangka waktu sehingga tahun 1996.

Tengku Mahaleel merupakan menerajui Proton sejak 1997 sehinggalah beliau berhenti pada bulan Julai tahun lalu.

Beliau terbabit dalam pembelian syarikat motosikal MV Agusta pada harga 70 juta euro pada 2004. Selepas beliau berhenti, Proton menjual Agusta kepada syarikat Gevi SPA dari Itali dengan harga satu euro.

Tengku Mahaleel dan Penasihat Proton yang bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengecam penjualan Agusta itu, serta menuntut penjelasan mengapa ia dilakukan serta mendakwa ia turut menjejaskan kredibiliti mereka berhubung perkara tersebut.