Malaysiakini
BERITA

Umno dan DAP gesa agenda perdamaian

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Okt 2020, 4:28 pagi

Umno dan DAP, yang merupakan seteru politik, masing-masing menggesa agenda perdamaian negara bagi menumpukan usaha melawan Covid-19.

Seruan itu hadir selepas Yang Di-Pertuan Agong menolak permohonan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dan sebaliknya menggesa ahli politik untuk bersama dalam memerangi Covid-19.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, setelah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti malam ini, memuji kebijaksanaan Raja-raja dalam menangani kemelut politik, dan mengambil maklum seruan untuk 'gencatan politik'.

"Ibrah episod ini jelas mendidik kita bahawa dalam melaksanakan sebarang Iangkah besar yang hendak dilakukan oleh kerajaan memerlukan proses musyawarah dan penglibatan secara konsensus semua pihak.

"Justeru, sewajarnya dimulakan satu inisiatif rekonsiliasi nasional yang merangkumi agenda politik, ekonomi, sosial dan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan.

Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menyeru agar kepimpinan politik ikhlas dalam menjayakan agenda berkenaan.

Jumaat lalu, Muhyiddin telah mengusulkan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Kerajaan menggambarkannya sebagai usaha memerangi Covid-19 tetapi pengkritik mendakwa ia percumahaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempertahankan kedudukan di tengah-tengah spekulasi yang mengatakan terdapat pemimpin Umno yang tidak lagi menyokongnya, yang menyebabkannya kehilangan majoriti tipis di parlimen.

Setelah berunding dengan raja-raja negeri lain, Yang Di-Pertuan Agong mengumumkan tiada keperluan mengisytiharkan darurat.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur Kebangsaan DAP Anthony Loke mengatakan bahawa kegagalan meyakinkan Agong merupakan tamparan hebat bagi Muhyiddin.

Namun, kata Loke, semua pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan politik daripada perkembangan ini dan perlu menghormati nasihat Yang Di-Pertuan Agong untuk mengenepikan perbezaan dan perbalahan politik untuk memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Justeru itu, saya berpendapat bahawa Muhyiddin dan kabinetnya tidak boleh meneruskan cara pentadbiran secara 'business as usual' dan perlu 'engage' dengan Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang

"Saya mengulangi seruan supaya semua parti yang diwakili dalam Parlimen mesti bersedia untuk duduk bersama di atas meja rundingan," katanya.

Loke mencadangkan "konsensus nasional" yang meliputi:

  • Bersetuju supaya Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan diadakan sehingga 2023.
  • Bersetuju supaya sistem demokrasi berparlimen mesti dipertahankan dan berfungsi seperti biasa mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan sepanjang masa.
  • Bersetuju untuk mencapai konsensus bersama untuk merangka dan meluluskan Belanjawan 2021 dan seterusnya serta Rang Undang-undang yang lain.

Ini adalah kali ketiga Loke meminta semua pihak bekerjasama sejak 13 Ogos dan 22 Oktober.

Setakat ini, DAP dan Warisan adalah parti pembangkang yang meminta Muhyiddin untuk menghubungi mereka.

Awal hari ini, veteran DAP Lim Kit Siang juga mendesak Muhyiddin untuk membuat perjanjian "keyakinan dan perbekalan" dengan pembangkang sementara Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mendesak semua pihak untuk bekerjasama.

Persidangan Dewan Rakyat berikutnya akan bermula pada 2 November.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Sehingga hari ini, tidak dapat dipastikan apakah Muhyiddin mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk meluluskan belanjawan tanpa persetujuan "keyakinan dan pembekalan".

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan