Paling Popular
Terkini

Majlis Tertinggi Umno akan bersidang malam ini untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan semasa mesyuarat Ahli Parlimen BN di Kuala Lumpur petang ini.

Bercakap kepada media selepas perjumpaan BN selama dua jam, Ahli Majlis tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abdidin berkata, tidak ada keputusan yang dibuat.

Bagaimanapun, katanya pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno untuk perbincangan selanjutnya.

Sebelum ini Malaysiakini memetik Zahidi sebagai berkata bahawa antara isu yang timbul semasa pertemuan BN adalah menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"(Ada) pelbagai pandangan. Tetapi majoriti dari mereka mengatakan 'No Anwar Ibrahim, No DAP'," tambahnya merujuk kepada bekerjasama dengan pemimpin pembangkang dan Pakatan Harapan.

Ketika ditemui sebelum pertemuan itu, Bendahari Umno Hishammuddin Hussein berkata ahli parlimen BN akan membincangkan kedudukan Muhyiddin.

Ditanya apakah Umno masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional, dia menjawab: "Saya tidak tahu, kita tunggu mesyuarat Umno dulu."

Bagaimanapun, ditemui selepas pertemuan ahli Parlimen BN, Hishammuddin mengatakan perkara itu tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu.

"Tidak, saya rasa kita membincangkan bagaimana kita bergerak ke depan," katanya.

"Saya rasa kita harus mencari jalan untuk ke depan. Apa pun keputusan yang akan kita buat, mestilah berdasarkan asas yang baik untuk rakyat dan negara," katanya.

Sinar Harian melaporkan bahawa Majlis Tertinggi Umno kemungkinan memutuskan untuk menarik sokongan ahli Parlimen BN terhadap Muhyiddin.

"Ini termasuk 26 anggota parlimen BN yang diberi jawatan (dalam kerajaan) oleh Muhyiddin. Mereka juga tidak akan menyokong perdana menteri," kata sumber itu.

Pertemuan itu diadakan setelah Yang di-Pertuan Agong semalam menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Muhyiddin, yang menjadi perdana menteri melalui kudeta politik yang digelar Langkah Sheraton, kini berdepan kemungkinan kudeta politik terhadapnya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa bahawa dia mendapat sokongan yang cukup dari ahli parlimen membentuk kerajaan sementara veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dispekulasikan bekerjasama untuk menyingkir Muhyiddin.

Tengku razaleigh dan Mahathir masing-masing menggesa undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan pada persidangan Parlimen bulan depan.

Selepas Anwar mengadap Agong pada 13 Oktober, di mana presiden PKR itu mendakwa memberikan dokume sokongan yang diterimanya, Umno membuat kejutan.

Parti itu mengumumkan sedang mempertimbangkan untuk menarik sokongan kepada pentadbiran Muhyiddin, yang hanya mempunyai majoriti tipis dua kerusi.

Pemerhati politik melihat ia sebagai usaha Umno untuk memaksa perdana menteri bersetuju pada permintaan tertentu.

Pada 21 Oktober, susulan perbincangan antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin, Umno menarik balik keputusan.

Umno bersetuju untuk gencatan politik memandangkan lonjakan kes Covid-19 dan berjanji akan menyokong usaha kerajaan untuk memerangi wabak tersebut dan memulihkan ekonomi negara.

Selain menolak untuk mengisytiharkan darurat, Agong juga menegur anggota parlimen agar tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam kestabilan kerajaan.

Cadangan pengisytiharan darurat sebelum ini digambarkan sebagai usaha memerangi Covid-19.

Namun, pengkritik mendakwa bahawa ia adalah percubaan perdana menteri mempertahankan kedudukan memandangkan terdapat spekulasi mengatakan dia sudah kehilangan majoriti di parlimen dan kemungkinan akan gagal dalam undian Belanjawan 2021 bulan depan.

Lihat Komen
ADS