Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahidi: Kemelut politik terjadi kerana rakyat salah pilih pada PRU14
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 6:47 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Anggota Parlimen Padang Besar dari BN, Zahidi Zainul Abidin berkata, masalah kemelut politik yang berlaku kini adalah kerana kesilapan rakyat yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu pilihan raya umum (PRU-14) lalu.

Tambahnya, jika kemelut politik ini tidak diselesaikan, ia bakal memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.

Dia berkata demikian setelah ditanya pemberita berhubung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah yang menuntut ahli politik supaya berhenti bermain politik demi menjaga kestabilan negara.

“Pertama sekali, itu saranan Yang di-Pertuan Agong kita kena ikut, tetapi situasi sekarang 50-50, jadi pelabur tidak akan datang, ekonomi kurang baik dan yang buat keadaan jadi macam ini adalah rakyat.

“Rakyat yang undi 50-50 (PH) ini dulu dan rakyat kena tipu,” katanya ketika ditemui di bangunan Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sebentar tadi, semua ahli parlimen BN dan Umno mengadakan mesyuarat di bangunan tersebut.

Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong semalam, yang menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Ia bagi membolehkan ahli parlimen BN untuk menyatakan pandangan masing-masing mengenai kemelut politik tanah air.

Sementara itu, timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu turut meminta rakyat jangan menghukum ahli politik yang kini sedang melakukan tugas untuk membetulkan keadaan tersebut.

“(PH janjikan) tol percuma, harga barang turun tetapi benda itu tak semua berlaku dan rakyat yang buat keputusan (mengundi PH) dan keadaan hari ini dari keputusan rakyat.

“Orang politik ini tugas hanya betulkan keadaan sahaja jadi bagaimana untuk betulkan keadaan, ini yang patut kita bagi pandangan,” katanya lagi.

Untuk rekod, PH membuat beberapa janji berkaitan PTPTN dalam manifestonya pada 2018, namun tidak menyatakan akan menghapuskannya.

Sebaliknya, PH berjanji akan mengubah struktru pembayaran semula, terutamanya kepada graduan yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Lihat Komen
ADS