mk-logo
Berita
Salahkan rakyat - Timbalan menteri perlu 'cermin diri', kata PKR
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Seorang pemimpin PKR membidas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa kemelut politik yang melanda negara ketika ini adalah disebabkan rakyat tersalah memilih kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu perlu "cermin diri" terlebih dulu sebelum berkata demikian.

"Beliau turut mengatakan bahawa keputusan yang dibuat rakyat itu adalah salah dan orang politik yang perlu perbetulkan keadaan.

"Saya menyarankan agar Zahidi mengambil peluang untuk mencermin diri, adakah beliau sendiri sudah memperbetulkan keadaan? Dengan pelbagai kenyataan, peristiwa dan usaha yang acuh tidak acuh sebagai timbalan menteri komunikasi dan multimedia, adakah beliau berhak untuk meletakkan keadaan sekarang ke atas pundak bahu rakyat?

"Saya yakin rakyat tidak lupa gelagat Zahidi dalam berhadapan dengan isu terkait Veveonah Mosibin. Saya juga yakin yang rakyat tidak lupa kenyataan beliau untuk mengusahakan internet percuma di institusi pengajian tinggi (IPT) sedangkan kebanyakan IPT sudah mewujudkan kemudahan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Besar dari BN itu berkata masalah kemelut politik yang berlaku kini adalah kerana kesilapan rakyat yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu pilihan raya umum (PRU-14) lalu.

Tambahnya, jika kemelut politik ini tidak diselesaikan, ia bakal memburukkan lagi keadaan ekonomi negara.

Dia berkata demikian setelah ditanya pemberita berhubung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah yang menuntut ahli politik supaya berhenti bermain politik demi menjaga kestabilan negara.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim, berkata rakyat juga makin cakna dengan kelemahan kerajaan dalam menguruskan isu capaian internet terutamanya di kawasan luar bandar yang membawa kepada banyak isu lain.

"Tidak kurang juga isu berita-berita palsu yang tersebar, fenomena penipuan atas talian yang semakin membimbangkan. Adakah beliau mahu meletakkan punca masalah-masalah ini pada rakyat?

"Cukuplah menyalahkan rakyat yang berhormat timbalan menteri. Rakyat melaksanakan amanah membuang undi untuk mengangkat demokrasi adalah tidak salah.

"Kerajaan yang hanya bermain politik, tidak serius mengambil berat isu terkait rakyat dan meletakkan kesalahan pada pihak lain inilah yang bersalah dan tidak bertanggungjawab," katanya.

Lihat Komen
ADS