Malaysiakini
BERITA

Pembantu Ronnie Liu lapor polis dakwa kenyataan Rais berunsur hasutan

Diterbitkan

Satu laporan polis telah dibuat terhadap Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim atas ciapannya di Twitter baru-baru ini yang didakwa berunsur hasutan.

Laporan polis itu dibuat oleh Rahman Mohamad Saleh, pembantu Anggota Dewan Undangan Negara (Adun) Sungai Pelek Ronnie Liu, yang mendakwa Rais mempersoalkan keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Rahman juga menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat kenyataan Rais terhadap peguam negara.

“Saya harap (pihak polis) akan siasat dan ambil tindakan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan dan pengguna akaun Twitter itu di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Rahman.

Pada 26 Okt lalu, Rais menciap di akaun Twitternya untuk menzahirkan penghargaan ke atas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan supaya semua menolak tepi sikap perbezaan politik dan membantu kerajaan untuk menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun, dia juga berkata keputusan Baginda telah “mencabuli” Perkara 40 (1A) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong harus bertindak mengikut nasihat perdana menteri.

“Kenapa peguam negara tidak menimbulkan (isu) bahawa peruntukan mandatori Perkara 40 telah diketepikan?

“Ini kan tonggak Raja Berperlembagaan?” soal Rais.

Meskipun Rais tidak menyatakan secara terang-terangan, dia dipercayai merujuk kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memenuhi permintaan perdana menteri bagi mengistyiharkan darurat.

Meskipun Putrajaya tidak menyatakan secara khusus keputusan mereka untuk mengisytiharkan darurat, beberapa pemimpin kerajaan berkata ia dilakukan untuk menghalang persidangan Dewan Rakyat bulan depan dan mengehadkan aktiviti politik.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan pada 6 November dengan pengundian pada 17 November.

Terdahulu, Liu juga telah disoal siasat oleh pihak polis selama empat jam susulan hantarannya di Facebook berhubung protes di Bangkok, Thailand.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan