Malaysiakini
BERITA

KP KKM enggan jawab, kenapa Khairuddin dikompaun langgar kuarantin

Hariz Mohd

Diterbitkan

Kes menteri kabinet, Khairuddin Aman Razali, yang gagal kuarantin kendiri selepas kembali dari Turki pada bulan Julai, masih belum dapat dijelaskan.

Pada 22 Ogos, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan yang menyebut menteri industri perladangan dan komoditi telah dikompaun RM1,000 pada 7 Ogos setelah mereka mendapati beliau melanggar peraturan kuarantin.

Anggota Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan telah membayar denda berkenaan dan beliau juga telah meminta maaf serta malah berjanji menyumbangkan gaji menteri dari Mei hingga Ogos kepada tabung Covid-19.

Ini selepas empat hari Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika itu memberitahu media bahawa kes Khairuddin masih disiasat oleh polis.

Setelah kira-kira dua bulan penyiasatan, keadaan berubah lagi apabila Bukit Aman mengumumkan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap menteri tersebut, mengatakan Khairuddin tidak diberikan borang 14B untuk menjalani kuarantin sekembalinya beliau pada 7 Julai .

Hari ini, Malaysiakini berusaha mendapatkan beberapa jawapan daripada Kementerian Kesihatan mengenai apa yang berlaku dalam kes tersebut kerana KKM sebelum ini telah mengesahkan Khairuddin telah melanggar kuarantin dan mengenakan kompaun atas kesalahan tersebut.

Pertanyaan diajukan kepada Dr Noor Hisham, mengapa KKM mengeluarkan kompaun terhadap Khairuddin dan adakah kompaun itu akan dibatalkan kerana Jabatan Peguam Negara mendapati tidak ada kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Di bawah Akta 342, KKM telahpun turunkan kuasa penguatkuasaan kepada polis dan Peguam Negara.

"Kes tersebut telah disiasat polis dan peguam negara jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut pada siasatan dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau juga tidak menjawab soalan sekiranya kementerian sedang menjalankan siasatan dalaman mengenai kegagalan untuk mengeluarkan arahan kuarantin kepada Khairuddin semasa ketibaannya.

Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020, antaranya memperuntukkan mereka yang pulang dari luar negara untuk kuarantin wajib selama 14 hari.

Semua warga yang pulang juga mesti menjalani ujian swab Covid-19 dan kemudian dihantar ke pusat kuarantin bagi melaksanakan tempoh pengasingan selama 14 hari.

Sebelum 24 Julai, mereka yang kembali dari luar negara dan diuji negatif masih perlu menjalani kuarantin tetapi dibenarkan melakukannya di rumah sendiri.

Mereka tidak dibenarkan meninggalkan rumah selama 14 hari dan mesti diuji semula pada hari ke-13 sebelum gelang kuarantin mereka dapat ditanggalkan. Khairuddin didakwa tidak melalui proses ini.

Mulai 24 Julai dan seterusnya, kuarantin mesti dilakukan di pusat-pusat yang ditetapkan oleh kerajaan. Langkah itu diperkenalkan semula setelah ramai warga yang melanggar syarat kuarantin di rumah.

Kes Khairuddin mendapat perhatian umum di tengah-tengah aduan 'layanan dua darjat' antara rakyat biasa dan orang kenamaan (VIP).

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan