Malaysiakini
BERITA

Belanjawan mungkin tak disokong jika tiada pindaan - Anwar

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Nov 2020, 7:11 pagi

Belanjawan 2021 akan mendapat sokongan penuh dalam Dewan Rakyat sekiranya pindaan dibuat untuk “kebajikan rakyat”, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

"Saya nak tekankan di sini, saya tidak mahu ada andaian mudah. Keadaan sekarang berbeza.

"Kerajaan, menteri kewangan dan perdana menteri tahu belum ada kepastian belanjawan dalam bentuk sekarang kalau tidak dipinda untuk membela nasib rakyat seperti yang kita tuntut.

“Belum pasti belanjawan ini kita luluskan dengan cara mudah," katanya dalam perbahasannya Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di parlimen hari ini.

Anggota parlimen Port Dickson itu berkata belanjawan dibentangkan Jumaat lalu tidak menepati tuntutan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), sebagai usaha awal untuk mendapatkan sokongan kedua-dua belah pihak.

Selain itu, Anwar turut menyifatkan unjuran dalam belanjawan tersebut tidak realistik dan tidak munasabah.

Dia merujuk beberapa angka unjuran yang dibuat Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 berhubung pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 8.6 hingga 9.6 peratus tahun depan beserta

Bagi perkembangan domestik, Anwar turut merujuk prestasi Bank Negara Malaysia pada pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8 peratus.

“Dari mana menteri kewangan dapat unjuran yang begitu tinggi?

“Unjuran tak semestinya tepat, saya faham. Tetapi harus realistik dah harus tunjukkan apa yang benar dan bukan untuk kelirukan,” kata Anwar yang juga bekas menteri kewangan.

Selain pertumbuhan KDNK, Anwar turut mempersoalkan unjuran cukai korporat yang dikatakan RM64.6 billion, meningkat dari unjuran tahun lalu sebelum wabak Covid-19 sebanyak RM63.8 billion

Tambahnya, jumlah itu juga tinggi dari anggaran unjuran cukai korporat tahun ini iaitu RM59.4 billion.

“Dengan kelemahan sektor industri dan kekurangan pendapatan sehingga tutup syarikat dan pekerja dibuang, mustahil susutan hanya RM4 billion (dari jumlah unjuran thaun 2019).

“Unjuran tahun depan RM64.4 billion lebih dari tahun 2019 sebelum Covid-19.

“Mungkin (unjuran cukai korporat) baru nak meningkat pertengahan tahun hadapan tetapi tidak dapat menepati unjuran Kementerian Kewangan," katanya.

Bukan bajet Covid-19

Anwar turut menyatakan peruntukan Belanjawan 2021 tidak sejajar dengan langkah kerajaan untuk menangani Covid-19.

Antaranya, Anwar meminta Tengku Zafrul menjelaskan sumber dana peruntukan RM3 bilion bagi membeli vaksin Covid-19 kerana tidak jelas dalam belanjawan.

“Kita (pembangkang) hanya akan sokong belanjawan berhubung Covid-19 dan bukan hal lain,” tegas Anwar dalam sesi perbahasannya.

Terdahulu, menteri kewangan telah mengadakan pertemuan bersama anggota parlimen dari kerajaan dan pembangkang bagi mendengar pendapat mereka sejurus mendapatkan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) itu.

Langkah itu susulan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengistyiharkan darurat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini telah menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat dan menggesa semua ahli parlimen supaya tolak tepi perbezaan politik demi memastikan belanjawan diluluskan dalam Dewan Rakyat.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.