Polis telah merakam kenyataan Adun Ketari, Young Syefura Othman berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berhubung perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Adun DAP itu berkata dia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan berharap tindakan yang akan diambil adalah adil tanpa mengira statusnya sebagai wakil rakyat.
"Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan pendakwa raya dalam menentukan tindakan yang akan diambil terhadap saya.
"Saya berharap apa-apa tindakan yang akan diambil adalah adil dan saksama, dan tanpa layanan berbeza walaupun saya seorang wakil rakyat.
"Saya kesal dan sekali lagi memohon maaf di atas apa yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syefura dia memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan ditemani oleh peguamnya, Syahredzan Johan.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, polis menerima dua laporan mengenai perkara itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Semalam, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara memohon maaf selepas memuat naik foto di Instagram yang menunjukkan dirinya dan beberapa individu lain berkelah di tepi pantai.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan warga maya kerana didakwa melanggar peraturan PKPB.
Di bawah peraturan PKPB, individu dilarang melakukan perjalanan rentas daerah dan mengadakan aktiviti sosial seperti berkelah bagi membendung penularan Covid-19.
Selain itu terdapat juga gesaan agar Adun DAP itu meletakkan jawatan.
Lebih-lebih lagi apabila dia sebelum ini meminta Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali agar meletakkan jawatan kerana gagal menjalani kuarantin selepas kembali dari luar negara.
Mengulas laporan polis yang diterima, Fadzil berkata pengadu melihat laman Instagram Young Syefura dan mendapati 9 keping foto dimuatnaik menunjukkan adun berkenaan berada di lokasi berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort.
Untuk rekod, foto-foto tersebut telah dikeluarkan dari akaun Instagram.
"Menurut pengadu, Selangor pada ketika ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang mana aktiviti tersebut pada ketika ini adalah tidak dibenarkan.
"Pengadu juga mengatakan kejadian melibatkan ahli politik ini bukan kali yang pertama dan ia berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil kepada ahli politik sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta merta diambil kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan.
