Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Benarkan keluar RM10k dari KWSP bukan populis tapi strategi ekonomi'
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata cadangan pengeluaran akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara "one off" bukan langkah populis sebaliknya merupakan satu strategi ekonomi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, cadangan pengeluaran KWSP dan lanjutan moratorium pinjaman bank bertujuan untuk merancakkan ekonomi.

"Langkah pengeluaran KWSP RM10,000 dan lanjutan moratorium adalah langkah untuk menambah dana ke dalam kitaran ekonomi kita demi merancakkan ekonomi kita tanpa memberi impak kepada saiz bajet dan defisit negara di samping memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang paling terdesak.

"Ini bukan populis. Ini strategi ekonomi," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Najib ketika membahaskan Belanjawan 2021 mencadangkan  kerajaan membenarkan pengeluaran caruman akaun 1 sebanyak RM10,000 secara "one off" dan lanjutan moratorium secara automatik.

Dua permintaan itu adalah syarat untuk BN menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Sementara itu dalam satu hantaran berasingan, Najib berkata ada pihak mendakwa cadangan pengeluaran RM10,000 ini tidak praktikal, sukar atau mustahil untuk dilaksanakan.

"Semalam, saya dah beritahu Dewan Rakyat bagaimana untuk melakukannya tanpa memberi impak kepada bajet/defisit kerajaan atau kepada KWSP.

"Jika 4 juta pencarum (seperti jumlah yang pohon skim i-Lestari) mengeluarkan jumlah maksimum RM10k dari akaun 1, ia adalah RM40 bilion.

"Hampir separuh pegangan aset KWSP sebanyak RM940 bilion atau sekitar RM470 bilion adalah dalam bentuk bon kerajaan dan bon swasta," katanya.

Jelasnya, bon adalah kelas aset kewangan yang mudah dicairkan sebab ada nilai dan ada pasarannya.

Kerajaan ketika pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pengeluaran itu hanya akan disasarkan untuk mereka yang dalam kesulitan sahaja.

Muhyiddin tidak menggariskan syarat-syarat untuk memenuhi syarat pengeluaran RM500 sebulan, tetapi memberi gambaran melalui senario tertentu.

"Mungkin kedua-dua suami isteri dah tiada kerja. Walaupun ada simpanan, simpanan dah habis untuk anak-anak.

"Jadi dalam kes sebeginilah kita benarkan," katanya.

Sebelum ini terdapat pihak yang menentang cadangan pengeluaran wang KWSP dengan menyifatkan langkah tersebut sama seperti 'merompak' wang simpanan pekerja.

Ini kerana akaun 1 KWSP adalah untuk simpanan persaraan pekerja yang hanya boleh dikeluarkan setelah mencapai usia 50, 55 dan 60 tahun.


Lihat Komen
ADS