Mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Nibong Tebal Ahad lalu, telah meluluskan usul penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk dibawa ke mesyuarat bahagian pada 13 Ogos ini.

Umno bahagian Nibong Tebal diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah.

Ketua Pemuda bahagian berkenaan, Shafie Haji Kassim menjelaskan, Pemuda Umno Nibong Tebal merasakan sudah sampai masanya jawatan itu digilirkan di atas semangat muafakat Barisan Nasional (BN).

"Kita tak ada motif lain dan usul ini bukannya satu isu perkauman. Kita meminta jawatan itu bukan untuk Umno tetapi untuk semua komponen BN.

"Kita cadangkan jawatan itu digilirkan antara Gerakan, MCA dan Umno kerana ketiga-tiga komponen BN ini mempunyai majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri," jelasnya kepada malaysiakini hari ini.

Beliau bertanya, kalau penggiliran jawatan Ketua Menteri bolah dilakukan di Sabah, mengapa pula tidak boleh dibuat di Pulau Pinang?

Bertolak ansur

Shafie menekankan, Gerakan tidak boleh memonopoli jawatan itu sendiri kerana Umno dan MCA juga berhak terhadapnya.

"Gerakan kena faham, mereka menangpun bukan secara bersendirian tetapi dengan pertolongan dan kerjasama kawan-kawan. Kita sudah lama bertolak ansur dalam isu ini," ujar Shafie.

Menurut beliau lagi, usul penggiliran jawatan Ketua Menteri ini bukan keputusan Pemuda Nibong Tebal sahaja tetapi telah dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Pemuda negeri baru-baru ini.

Pemuda Umno Nibong Tebal adalah bahagian yang pertama di Pulau Pinang mengadakan mesyuaratnya dan meluluskan usul tersebut.

Dua lagi Pemuda Umno bahagian Permatang Pauh dan Bukit Mertajam akan bermesyuarat dan membincangkan usul tersebut pada hujung minggu ini.

Usul ini dijangka turut diluluskan oleh sekurang-urangnya 10 lagi Pemuda Umno bahagian lain hingga 10 September ini. Pulau Pinang mempunyai 13 bahagian Umno.