Malaysiakini
BERITA

Ku Li: Elok Umno kaji semula kerjasama dengan Bersatu, PAS

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Nov 2020, 2:56 pagi

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat parti itu wajar mengkaji semula kerjasama antara parti itu dengan Bersatu dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang kerana tidak merasakan ia akan membawa sebarang manfaat.

“Apa untung kita (Umno) dengan parti Bersatu? Apa untung kita berpakat dengan PAS? Matlamat mereka seakan sama, akhirnya kita bergaduh pula.

“Konflik yang bakal berlaku tak baik untuk rakyat dan negara. Baiklah kita fikir masak-masak.

“Saya rasa elok kita kaji semula,” katanya seperti dipetik di portal The Malaysian Insight.

Pemimpin veteran Umno yang turut dikenali sebagai Ku Li berkata dari segi pengagihan kerusi, parti itu perlu bertegas untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU14 tanpa bertolak ansur dengan Bersatu.

“Mana kerusi kita dulu kita kekal, tidak ada nak runding-runding lagi. Apa nak runding, kerusi kita,” katanya.

Razaleigh juga berkata Umno perlu merampas semula kerusi parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin dan Langkawi (Dr Mahathir Mohamad).

“Itu bukan sesiapa punya. Kerusi itu bukan baru wujud… baru menjelma, tapi kesilapan kempen dulu kita kalah.

“Sekarang ini cubalah… kita nak semua kawasan itu dan kita yakin boleh menang dengan strategi yang betul.

“Kita tak pernah kalah, baik di Langkawi atau Pagoh,” katanya.

Pada masa sama, ahli parlimen Gua Musang turut menyifatkan pemimpin yang memihak kepada presiden Bersatu itu sebagai pengkhianat yang tidak boleh dimaafkan kesalahannya.

“Ramai yang memihak kepada Muhyiddin adalah mereka yang terdiri daripada pengkhianat… orang yang lari daripada kita, yang ada kes, yang kita rasa tak boleh dimaaf. Mereka berada bersama Muhyiddin.

“Kita rasa tak sepatutnya kita berada dalam perkongsian ini, walaupun untuk berkuasa di negara.

“Kita rasa tak patut langsung bagi sokongan… tapi apakan daya, kita nak tengok keadaan baik, apatah lagi kita (negara) dilanda Covid-19. Itulah yang diputuskan oleh kita,” katanya, merujuk kepada pembentukan Perikatan Nasional. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan