Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Adakah gila bagimu tuan, burung terbang dipipiskan lada' - MP soal belanjawan

PARLIMEN | Walau Belanjawan 2021 belum lulus, kerajaan sudah berangan-angan berbelanja untuk kepentingan politik sempit, kata MP Bukit Mertajam.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan jangan bersikap “overconfident (terlebih yakin)” dengan Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat, kata Steven Sim (PH - Bukit Mertajam).

Memetik pantun empat kerat dalam kisah Puteri Gunung Ledang di dalam Sejarah Melayu, Sim berkata, kerajaan PN sudah pun memasang angan membelanjakan wang peruntukan untuk kepentingan politik, meskipun belanjawan itu belum pun diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kerajaan kini seakan-akan overconfident dan tidak mengendahkan titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk jangan bermain politik dan berusaha meluluskan belanjawan perpaduan demi rakyat Malaysia.

“Ingat amaran Puteri Gunung Ledang dalam Sejarah Melayu:

Dang Nila memangku puan

Berembang buah pedada

Adakah gila bagimu tuan

Burung terbang dipipiskan lada

“Burung masih belum tertangkap tapi dapur sudah menumbuk ramuan.

“Belanjawan belum diluluskan, kerajaan sudah berangan-angan memakai belanja untuk kepentingan politik sempit,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dia merujuk kenyataan Ahmad Fadhli Shaari (PAS - Pasir Mas) minggu lepas bahawa sokongan bersyarat dikemukakan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah janggal dan ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

Ini ekoran sehari sebelum itu, bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbahasan membangkitkan dua syarat BN untuk menyokong belanjawan itu, iaitu lanjutan moratorium enam bulan dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Mengibaratkan syarat-syarat itu seperti syarat Puteri Gunung Ledang terhadap Sultan Melaka, kata Ahmad Fadhli, syarat itu bukanlah bertujuan menerima pinangan, sebaliknya petanda pinangan itu ditolak.

Turut mengambil kisah syarat pinangan itu, bidas Sim, mengikut hikayat, Sultan Mahmud Syah sebenarnya bersetuju dengan syarat-syarat luar biasa oleh Puteri Gunung Ledang, kecuali satu syarat - iaitu semangkuk darah puteranya sendiri.

Begitupun, katanya, dia tidak memandang syarat yang dikemukakan pembangkang - antaranya lanjutan moratorium, peningkatan bantuan kebajikan menjadi RM1,000 sebulan, pemansuhan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) - boleh disamakan seperti syarat Puteri Gunung Ledang.

“Masalahnya cadangan oleh pembangkang bukan ‘syarat Puteri Gunung Ledang’. Kita mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara tercinta. Masalahnya ialah belanjawan yang dibentangkan itu (sebenarnya) Belanjawan Puteri Gunung Ledang.

“Jangan pula kecam dan ugut pembangkang untuk luluskan Belanjawan Jasa 2.0 dengan pelbagai peruntukan untuk kerja-kerja propaganda politik, sama ada Jasa, Penggerak Komuniti Tempatan, projek khas berbilion ringgit,” katanya lagi.

Sim berkata kerajaan perlu ikhlas dalam usaha menyatupadukan ahli-ahli Dewan Rakyat bagi meluluskan satu belanjawan yang mampu menjadi perisai ekonomi kepada rakyat Malaysia.

“Bukan potong emolumen penjawat awam, bukan potong emolumen polis dan barisan hadapan, bukan abaikan sektor belia dan sukan, bukan bentang Belanjawan Jasa 2.0, dan jauh sekali belanjawan Puteri Gunung Ledang yang indah khabar dari rupa.

“Belanjawan kali ini mestilah benar-benar meletakkan wang ke tangan rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana Malaysia.

“Ketepikan politik, fokus kepada melindungi nyawa, menyelamatkan mata pencarian dan memulihkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS