Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP persoal usaha kerajaan bawa pulang Jho Low
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 2:52 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Wakil rakyat DAP hari ini mempersoal tindakan kerajaan dalam membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jow atau Jho Low yang terkait dengan skandal 1MDB.

Gobind Singh Deo (PH- Puchong), berkata dalam situasi sukar ketika ini adalah penting untuk kerajaan membawa pulang kembali harta dan wang negara.

Oleh itu dia menuntut kerajaan supaya memberi penjelasan terhadap usaha membawa pulang ahli perniagaan kontroversi itu dan juga wang negara yang dilarikan.

"Apakah tindakan diambil kerajaan untuk bawa balik duit yang dilesapkan, bagaimana usaha kita untuk pastikan dia kembali ke Malaysia.

"Ambil tindakan jika ada kesalahan...bagaimana dengan harta-harta yang dia lesapkan.

"Kerajaan kita diam, setakat ada ketua polis negara yang berkata pulanglah," katanya ketika berbahas di Parlimen hari ini.

Semalam, Jho Low mendakwa telah mencapai persetujuan untuk menjual asetnya dan menyelesaikan tuntutan mahkamah 1MDB dengan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat tetapi pentadbiran perdana menteri ketika itu, Najib Razak tidak mahu mendedahkan dokumen yang boleh membabitkan dirinya.

Sehari selepas serbuan di hartanah yang berkaitan dengan Najib berikutan pilihan raya umum Mei 2018, Low memulakan komunikasi dengan kerajaan perdana menteri baru Dr Mahathir Mohamad.

Rakaman tersebut kini didedahkan oleh Al Jazeera dalam dokumentari 'Hunt for a fugitive'.

Low, dalam rakaman audio bocor yang dibuat antara Mei dan November 2018, juga ingin menunjukkan bahawa tanggungjawab dana 1MDB yang lesap terletak di tempat lain dan mendakwa bahawa sebelum pilihan raya Amerika Syarikat, dia telah berada di ambang perjanjian dengan kerajaan AS.

"Pada dasarnya saya setuju untuk menyerahkan semua aset, AS menjualnya dan wang akan digunakan untuk membayar balik bon dolar AS secara langsung."

"AS tidak mempercayai kerajaan Malaysia sehingga mereka mengatakan mereka tidak akan memulangkan kembali wang itu," dakwa Low.

Dalam pada itu, Gobind turut mempersoalkan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan kepada Jabatan Peguam Negara dalam Belanjawan 2021.

Sedangkan, menurutnya, ia merupakan badan penting dalam negara yang memainkan proses perundangan termasuk pendakwaan terhadap bekas perdana menteri dalam skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS