Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Darurat tak jejas kehidupan rakyat di Batu Sapi
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 6:56 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan pengisytiharan darurat di parlimen Batu Sapi "hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat."

"Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini.

"Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi.

"Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baru dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah," katanya dalam perutusan khas mengenai PRK Baru Sapi hari ini.

Perdana menteri hari ini menjelaskan keputusan kabinat pada 13 November untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya "mengisytiharkan darurat di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah di bawah Perkara 150 yang dibaca bersama Fasal (1) dan (1A) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan."

Dalam membuat pertimbangan ini, Muhyiddin berkata kabinet mengambil kira kesan penularan Covid-19di negeri Sabah susulan Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah yang diadakan pada bulan September yang lalu.

"Data menunjukkan pada 12 September 2020, iaitu pada hari penamaan calon PRN Sabah, kes kumulatif Covid-19di Sabah berjumlah 808 kes. Pada 26 September, iaitu pada hari mengundi, kes kumulatif Covid-19 di Sabah telah meningkat kepada 1,547 kes, iaitu peningkatan sebanyak 91.5 peratus.

Situasi penularan Covid-19di Sabah menjadi lebih buruk apabila peningkatan berlaku secara mendadak dalam tempoh 4 minggu selepas hari mengundi. Pada 24 Oktober 2020, Sabah mencatatkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah kes Covid-19melebihi 10,000 kes.

"Hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes kumulatif Covid-19yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata kerajaan Perikatan Nasional memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera "tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan."

"Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS