mk-logo
Berita
Siapa tolak bajet, khianat rakyat - Shahidan
Diterbitkan:  Nov 19, 2020 1:28 PM
Dikemaskini: Nov 20, 2020 5:43 AM

  • Laporan Malaysiakini sebelum ini melaporkan Shahidan Kassim merujuk kenyataan berkaitan khianat itu kepada Najib Razak. Semakan semula pada hansard parlimen dan rakaman video mendapati perkara ini tidak tepat. Malaysiakini memohon maaf atas kesilapan ini. - Editor

PARLIMEN | Menolak Belanjawan 2021 disifatkan sebagai tindakan khianat terhadap rakyat.

“Akan tetapi saya hendak bagi tahu sesiapa sahaja yang menolak bajet ini termasuk kawan saya bekas menteri kesihatan tolak bajet, khianat rakyat sebabnya rakyat sedang menunggu.

“Anggota kerajaan menunggu supaya bajet ini diluluskan.

“Mereka yang dibuang kerja menunggu untuk mereka diambil semula,” kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Shahidan (BN-Arau) berkata demikian ketika bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) beberapa kali cuba mencelah perbahasan itu.

Dzulkefly Ahmad 

Malaysiakini sebelum ini terkhilaf dengan menyebut Shahidan merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak (BN-Pekan).

Shahidan juga menyentuh dakwaan terdapat pemimpin PN tidak akan menyokong Belanjawan 2021 semasa sesi pengundian untuk meluluskannya pada minggu depan.

“Akan tetapi untuk dimaklumkan bahawa terdapat beberapa perbuatan yang luar biasa yang sedang berlaku sekarang iaitu menuduh seolah-olahnya ada di pihak PN ini yang boleh–– ada yang kata mungkin ada seorang atau dua orang tidak menyokong. Maka dengan ini bajet ini tidak lulus, kerajaan tumbang.

“Ini adalah satu syak wasangka dan kita mengaitkan orang-orang yang merupakan ahli-ahli politik veteran yang mereka masuk politik sebelum kita lahir lagi.

“Sebelum Yang Berhormat Lembah Pantai lahir (Fahmi Fadzil) lagi mereka sudah masuk politik.

“Yang Berhormat Pekan (Najib) masuk politik, Yang Berhormat Bagan Datuk (Zahid Hamidi), Yang Berhormat Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah) semua pihak ini masuk politik lebih awal lagi,” katanya.

“Akan tetapi kita syak wasangka kononnya mereka begitu, begini.

“Sekali mereka menyertai Barisan, mereka Barisan. Sekali Barisan bersama dengan PN, kita tetap bersama dengan PN,” katanya.

Shahidan juga menyatakan sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Dalam beberapa saat ini saya ingin merumuskan bahawa kita hendak menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Pagoh,” katanya.

Najib ketika mengulas Belanjawan 2021 berkata BN akan menyokong belanjawan itu jika kerajaan menyambung moratorium pinjaman bank dan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa turut memberi peringatan kepada ahli parlimen parti yang cuba-cuba memikirkan untuk menentang Rang Undang-Undang Perbekalan.

Katanya, pengundian belanjawan perlu mengikut arahan parti dan bukan ketetapan sendiri.

Ini berlaku selepas Tengku Razaleigh memberitahu The Malaysian Insight bahawa ahli parlimen dipilih untuk bertanggungjawab kepada pengundi kawasan yang diwakili mereka dan tidak boleh hanya menuruti arahan parti ketika memutuskan belanjawan.

Razaleigh yang juga pengerusi Lembaha Penasihat Umno juga berpendapat adalah "tidak demokratik" untuk membataskan ahli parlimen mengundi sekadar mengikut arahan parti.

Menurut MP Gua Musang, walaupun beliau ahli parlimen Umno, namun parti itu  tidak berhak menentukan corak pengundian kerana dirinya dipilih pengundi di kawasannya.

Pada sidang media pagi ini, Annuar menolak kenyataan itu sebagai "pandangan peribadi" Tengku Razaligh, berkata setiap ahli parlimen perlu patuh pada arahan ketua whip dalam membuat undian bagi menyokong rang undang-undang dibawa kerajaan, termasuk Belanjawan 2021.

“Kalau ada ahli parti yang hendak bertindak sendiri, maka bila sampai pilihan raya, tidak perlu lagi parti, buat keputusan sendiri jugalah.

“Kalau tidak mahu ikut parti, tidak mahu patuh pada arahan parti, maka kena bersedia juga terima tindakan tertentu (yang dibuat oleh) parti,” kata Annuar lagi.

ADS