Malaysiakini
BERITA

Undi belanjawan minggu ini, medan uji setia Umno pada PN

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2020, 1:24 pagi

PARLIMEN | Selepas dua minggu perbahasan di parlimen, pengundian pertama mengenai Belanjawan 2021 dijangka diadakan minggu ini.

Ia bakal menjadi medan ujian penting bagi gabungan parti pemerintah Perikatan Nasional, terutama mengenai sokongan daripada Umno.

Menteri akan mula menggulung perbahasan peringkat dasar mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada hari Isnin.

Sekiranya semuanya berjalan lancar mengikut jadual, penggulungan perbahasan akan berlangsung pada hari Khamis, setelah itu akan ada undian mengenai belanjawan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah bertitah menasihati ahli parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 tetapi keadaan masih kelihatan boleh berubah-ubah.

Bekas perdana menteri Najib Razak berulang kali berkata, BN hanya akan menyokong belanjawan sekiranya terdapat lanjutan moratorium pinjaman dan kebenaran individu mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tetapi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kerajaan telah membuat penyesuaian terhadap rancangan KWSP yang dapat diterima.

KWSP telah mengumumkan individu yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, atau tidak mempunyai sumber pendapatan lain boleh mengeluarkan sehingga 10 peratus simpanan Akaun 1 mereka selagi mereka mempunyai simpanan minimum RM100.

Bagaimanapun, Zahid juga meminta kerajaan untuk menguji penguasaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap Dewan Rakyat.

Pengundian belanjawan dilihat beberapa pihak sebagai proksi untuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menggesa ahli parlimen untuk memilih menggunakan hati nurani mereka. 

Pengerusi Lembaga Penasihat Umno itu juga mendesak supaya usul undi tidak percaya diperdebatkan.

Sokongan Umno terhadap kerajaan PN didakwa masih lagi tidak menentu kerana parti itu dikatakan tidak berpuas hati tidak dilayan dengan rasa hormat dan selayaknya sebagai parti dengan jumlah ahli parlimen terbesar dalam gabungan longgar pari pemerintah itu.

Muhyiddin pada masa ini hanya mendapat sokongan 112 ahli parlimen di kalangan 222 anggota Dewan Rakyat. 

Terdapat juga dua kekosongan berikutan kematian anggota parlimen parti pemerintah (PN, Gerik) allahyarham Hasbullah Osman dan pembangkang (Warisan, Batu Sapi) mendiang Liew Vui Keong.

Sementara itu, pembangkang telah menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka mungkin tidak menyokong belanjawan walaupun Putrajaya berusaha untuk menjadikan RUU Perbekalan kelihatan sebagai kerjasama dwiparti.

Salah satu isu yang dipertikaikan ialah peruntukan RM85.5 juta kepada untuk unit propaganda kerajaan Jasa.

Ahli parlimen pembangkang telah mengatakan kepada Malaysiakini sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan, Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan dapat digunakan untuk membentangkan rang undang-undang terpisah untuk mengizinkan perbelanjaan penting.

Perbelanjaan penting boleh merangkumi emolumen penjawat awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19.

Jika RUU Perbekalan mendapat undi mencukupi pada minggu ini, ia masih belum berakhir.

Pengundian juga akan diadakan semasa perbahasan pada peringkat jawatankuasa.

Biasanya, segala usaha untuk mengalahkan belanjawan hanya dilakukan semasa pengundian peringkat dasar dan RUU Perbekalan akan melewati peringkat jawatankuasa dengan undi suara.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan pada tahun 2017 pernah melakukan serangan mendadak semasa pengundian peringkat jawatankuasa Belanjawan 2018 dan kalah dengan hanya dengan satu undi.

[Baca laporan asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan