Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUTP: Beri kepercayaan pada guru laksana sistem pembelajaran di rumah

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang menyarankan kerajaan agar memberikan kepercayaan kepada guru dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Katanya, ketika berdepan cabaran melaksanakan PdPR dalam musim wabak Covid-19 ini, guru-guru tidak wajar ditambah bebanan dan mendapat tekanan lain.

“Guru ada kemahiran dan maklumat berkenaan pelajar mereka, jadi berilah keyakinan dan kepercayaan kepada guru untuk menguruskan proses PdPR, tak perlulah pihak-pihak lain memberi tekanan kepada guru.

“Tak perlulah terlalu kerap membuat semakan, spot check (pemeriksaan mengejut). Beri keyakinan kepada guru kerana lebih tahu, lebih mengenali pelajar-pelajar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Antara bebanan yang dibangkitkannya adalah keperluan untuk guru melengkapkan pelaporan PdPR secara dalam talian setiap hari, yang menurutnya cukup tidak dipersetujui kerana membebankan guru.

Aminuddin Awang

Menurut Aminuddin, setiap guru perlu melengkapkan laporan itu sebelum jam enam petang setiap hari dan biasanya melibatkan berbelas halaman.

Katanya, jika tujuan arahan itu adalah untuk memastikan guru melaksanakan tugas, pihak sekolah sudah ada kaedah pemantauan sendiri yang diselia guru besar dan penolong kanan.

“Kalaulah ada 230,000 laporan setiap hari, siapa (di kementerian) yang nak periksa apa yang dihantar? Jadi kita ingat benda tu patut dipertimbangkan semula oleh pihak kementerian,” katanya lagi.

Sebelum ini, NUTP meminta agar arahan membuat laporan itu disemak semula atas faktor capaian internet, membebankan guru serta selain proses PdPR yang tidak semestinya selesai selepas tamat waktu pembelajaran.

Ini kerana guru memberi kelonggaran kepada pelajar untuk menghantar tugasan pada waktu malam atas kekangan yang dihadapi pelajar, menurut NUTP.

Selepas dibuka semula pada Julai lalu, sekolah di seluruh negara kembali ditutup bermula 9 Nov hingga 17 Dis dan sesetengahnya pada 18 Dis.

Penutupan itu melibatkan lima juta pelajar dan 500,000 guru, dan sepanjang tempoh tersebut, pelajar bergantung pada pembelajaran di rumah.

Aminuddin diminta mengulas proses PdPR sepanjang penutupan sekolah serta cabaran yang dihadapi guru, serta sama ada wujud keperluan untuk membuka semula sekolah dengan meningkatkan langkah pencegahan penularan Covid-19.

Dia berkata buat masa ini, PdPR yang dilaksanakan adalah pilihan terbaik yang dapat dibuat bagi memastikan proses pendidikan terus berjalan.

Guru, sekolah buat inisiatif sendiri

Dia berkata selain pembelajaran dalam talian, sekolah juga melakukan inisiatif lain untuk menjayakan PdPR terutama di kawasan luar bandar yang tidak memiliki capaian internet yang memuaskan.

Katanya, antaranya usaha guru sendiri yang memeriksa tugasan murid dari rumah ke rumah atau penyediaan bahan pengajaran yang diambil ibu bapa di sekolah.

Inisiatif itu diputuskan sendiri oleh guru dan pihak sekolah, berdasarkan kemampuan dan kesediaan murid dan keluarga, katanya lagi.

“Cikgu tahu, anak murid dia ada berapa orang, berapa ramai yang ada kemudahan, berapa ramai yang (harus belajar secara) tak segerak (proses pengajaran dan pembelajaran tidak berlaku serentak), atau berapa ramai perlu secara offline."

Sebelum ini, ada saranan agar sekolah dibuka semula, antaranya oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan kerajaan sepatutnya mengambil pendekatan lebih fleskibel setelah belajar daripada pengalaman berdepan Covid-19 sejak 10 bulan lalu.

Ahli parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula membangkitkan bahawa kebanyakan jangkitan berlaku di luar dan bukan di sekolah, manakala Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong mencadangkan sekolah di pedalaman dibenarkan dibuka atas dasar capaian internet yang lemah menyebabkan pelajar ketinggalan berbanding mereka di luar bandar.

Tiga perkara penting dalam PdPR

Dalam pada itu, pakar psikologi kanak-kanak, Prof Dr Mariani Md Nor berkata tiada model pengajaran yang boleh dianggap terbaik di tengah-tengah penularan wabak, kerana ia bergantung kepada keadaan.

Meskipun setiap pendekatan ada kelemahan dan kelebihan tersendiri, Mariani berkata pengajaran dan pembelajaran tetap perlu diteruskan agar kesinambungan pendidikan murid tidak terjejas.

Katanya, apa yang penting, ibu bapa serta guru perlu memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan PdPR, selain memastikan kaedah pengajaran sesuai dengan setiap murid.

“Tiada model terbaik kerana semua model adalah terbaik untuk golongan pelajar yang sesuai dengan model tertentu.

“Apapun cadangan baik diterima. Hanya pastikan ibu bapa sama-sama membantu guru dalam memastikan PdPR dapat berjalan dengan baik dan bermakna untuk pelajar, guru dan ibu bapa,” katanya.

Dia turut menyatakan tiga perkara dalam memastikan PdPR berjalan lancar, iaitu mengenali gaya belajar murid, penyampaian yang menarik dan berpusatkan pelajar, serta memanfaatkan teknologi terkini dalam menarik minat mereka.

Lihat Komen
ADS