Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kluster Teratai: Hampir separuh yang disaring positif Covid-19
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 7:58 PM
Dikemaskini: 12:12 PM

Hampir separuh daripada ujian saringan Covid-19 yang dibuat terhadap individu dalam kluster Teratai, melibatkan kilang sarung tangan Top Glove di Klang, menunjukkan keputusan positif.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 43.8 peratus daripada mereka yang menjalani ujian adalah positif.

"Sehingga 23 November, terdapat 2,524 kes positif Covid-19 (43.8 peratus) yang telah dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes yang telah disaring.

"Sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan," katanya.

Menurut Noor Hisham, pesakit Covid-19 dalam kluster tersebut merangkumi 164 warga Malaysia dan 2,360 warga asing, yang kebanyakannya pekerja Top Glove di Klang.

Bagaimanpun, wabak itu telah menular di luar lingkungan pekerja. Individu paling muda yang dijangkiti berusia dua tahun, manakala paling tua berusia 68 tahun.

"12 kes dikesan bukan di kawasan itu tetapi daripada kontak rapat," kata Noor Hisham.

Katanya, pekerja tempatan mungkin tidak tinggal di asrama, sebaliknya rumah sendiri sehingga menyebabkan ahli keluarga turut dijangkiti Covid-19.

"Kita melaksanakan pengesanan kontak rapat secara aktif dan mengetatkan PKPD bersasar di kilang dan asrama untuk melaksanakan saringan terhadap kira-kira 13,000 pekerja," katanya.

Kluster ini dikenal pasti pada 7 November dan mencatatkan kenaikan mendadak jangkitan dalam beberapa hari ini.

Hari ini saja, sebanyak 1,067 kes positif dilaporkan dalam kluster ini, dengan 1,060 daripadanya adalah di Selangor.

Susulan peningkatan itu, Majlis Keselamatan Negara hari ini mengarahkan kesemua 28 kilang Top Glove di Klang untuk ditutup secara berperingkat.

Noor Hisham berkata pengurusan Top Glove telah mengasingkan pekerja yang menjadi kontak rapat.

Pada masa ini, kawasan yang menempatkan asrama pekerja syarikat itu di Meru, Klang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sejak 17 November.

Noor Hisham berkata perintah itu melibatkan kira-kira 5,900 penduduk.

"Namun, maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan kilang mendapati keseluruhan pekerja adalah sebanyak lebih kurang 13,000 orang yang bertugas di 28 buah bangunan kilang yang berbeza.

"Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang untuk perancangan membuat saringan ke atas semua pekerja ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS