Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Menjawab soalan adakah saya akan masuk PKR

Tulisan Saari Sungib ini disediakan bagi menjawab soalan Malaysiakini berkaitan spekulasi penyertaannya dalam PKR sebelum ini. Saari pada 16 November berkata akan kekal bersama Amanah dan tidak akan menyertai PKR.

Kenapa tak YB saja yang masuk PKR?

Terima kasih kepada saudara atas soalan yang saudara kemukakan.

Berkaitan ulasan saya berkenaan Adun Meru bukan melompat parti tetapi meluaskan demokrasi, saudara ingin tahu kenapa tidak saya saja yang masuk PKR!

Untuk menjawab soalan itu, saya ingin berkongsi dengan saudara pengalaman saya dalam politik kepartian yang bermula sejak tercetusnya reformasi pada tahun 1998.

Saya harap saudara bersabar sedikit kerana liku-likunya sulit dan rumit. Saya cuba ringkaskannya seboleh mungkin.

Pada 2 September 1998, saya hadir di kediaman rasmi timbalan perdana menteri pada malam yang petangnya Anwar Ibrahim dipecat daripada semua jawatan beliau dalam kerajaan.

Ada beberapa orang petugas Anwar yang mengenali saya dan meminta saya duduk di hadapan. Saya pada masa itu duduk betul-betul di hadapan Anwar. Terdapat kira-kira seratus orang hadirin terdiri daripada rakan-rakan rapat Anwar.

Saya lihat malam itu Anwar Ibrahim sangat hebat berucap. Bagi saya ia merupakan satu syarahan yang paling fasih dan lancar. Dengan suara yang padu Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersalah.

Beliau menyatakan bahawa pemecatan beliau adalah satu konspirasi di peringkat tertinggi. Ini adalah kesan daripada usaha-usaha reform yang dilakukan oleh beliau dalam pentadbiran negara terutamanya berkenaan rasuah dan salah guna kuasa.

Pindaan akta pencegahan rasuah yang dilaksanakan ketika beliau memangku jawatan perdana menteri benar-benar menggerunkan Dr Mahathir Mohamad dan kroni-kroninya.

Lewat malam itu, Anwar Ibrahim diusir dari kediaman rasmi. Anwar Ibrahim memilih rumahnya di Bukit Damansara sebagai pusat beroperasi. Seawal itu saya sudah diminta membantu dalam soal tenaga dan sokongan.

Ceramah berapi-api Anwar

Selepas itu Anwar Ibrahim mengadakan ceramah setiap malam di rumahnya. Pelbagai lapisan rakyat datang untuk mendengar ceramah yang disampaikannya dengan berapi-api.

Pada hari keempat Anwar Ibrahim dipecat, beberapa pertubuhan Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Asasi dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melancarkan Gerakan Reformasi Rakyat di Sg Ramal.

Sebagai presiden JIM saya terlibat langsung dalam gerakan tersebut dengan persetujuan daripada Anwar Ibrahim sendiri.

Pada malam kelima, dalam ceramah di rumah Anwar Ibrahim di Bukit Damansara, beliau buat pertama kali melaungkan kata keramat reformasi dan sekali gus menamakan gerakan rakyat yang mula terbina itu sebagai gerakan reformasi!

Bermula dari hari kesepuluh, pasukan Anwar Ibahim mula mengadakan tinjauan untuk berbincang dengan para ulama ketika itu.

Pembelaan terhadap Anwar Ibrahim adalah rencam tetapi teliti. Maka ceramah di luar Bukit Damansara pun diatur.

Anwar Ibrahim bergerak di luar rumah. Road-show Anwar Ibrahim tersebut telah membawa saya merantau ke Bangi di kediaman Datuk Dr Harun Din dan kemuncaknya di Dehrang, di Madrasah Ustaz Niamat.

Apa yang disaksikan di Dehrang dengan bilangan manusia yang begitu ramai merupakan suatu yang fenomenal!

Gelombang kebangkitan rakyat dimanifestasi pada 20 September 1998 dalam himpunan aman bersama Anwar di perkarangan Masjid Negara dan Dataran Merdeka.

Malam itu Anwar Ibrahim dan beberapa orang lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada malam yang sama Anwar Ibrahim dipukul oleh ketua polis negara separuh mati.

Rentetan daripada penangkapan Anwar Ibrahim, esoknya empat orang pemimpin Abim ditangkap. Saya bersama mereka ketika kami sedang bermesyuarat.

Hari-hari seterusnya demonstrasi diatur kelihatan seperti tiada penganjur. Katanya digerakkan oleh akal budi rakyat!

Ustaz Fadzil Noor, sahabat lama Anwar Ibrahim, memimpin PAS bersama DAP, PRM menubuhkan Gerak bersama Abim, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), JIM, PKPIM, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa lagi NGO.

Giliran saya pula ditahan bawah ISA. Lim Kit Siang mengumumkan saya sebagai tahanan Gerak pertama di bawah ISA.

Fadzil Noor

Dari Gerak yang sudah berubah menjadi pakatan politik pembangkang, langkah seterusnya diambil untuk mengusahakan penubuhan NGO Adil.

Saya terlibat langsung dalam Adil sebagai anggota jawatankuasa. Dr Wan Azizah Ismail adalah pengerusinya.

Apa selepas Adil? Perlukah ada parti politik untuk reformasi? Untuk tujuan itu Anwar Ibrahim telah meminta beberapa ahli politik dan aktivis terlibat dalam beberapa siri perbincangan bagi penubuhan parti politik reformasi.

Saya menganggotai kumpulan ini yang menyebabkan saya terbang ke sana ke sini termasuklah ke Singapura, Indonesia dan Australia.

Hasilnya jelas, iaitu sebuah parti politik reformasi hendaklah diwujudkan. Dengan itu lahirlah Parti Keadilan Nasional (PKN) dengan panggilan Keadilan.

Sepanjang aktivisme tersebut di atas, saya dilantik menjadi bendahari Gerak yang merapatkan hubungan saya dengan Ustaz Fadzil Noor yang dipilih menjadi pengerusi Gerak.

Bahkan beliau menawarkan saya dan beberapa lagi pimpinan JIM menyertai PAS dan jika sesuai dan setuju boleh dijadikan calon PAS dalam pilihan raya umum yang mendatang.

Pada ketika yang sama, Anwar Ibrahim juga meminta saya terlibat secara langsung dalam PKN.

Dalam politik segalanya berjalan pantas. Tidak sempat menimbangkan untuk menjadi ahli PAS atau terlibat dalam PKN, tiba-tiba saya terus terlibat dalam PRU 1999 bertanding sebagai calon PKN bagi kerusi Parlimen Kuala Langat.

Saya tidak sempat mengisi borang PKN. Bagi saya keahlian saya dalam PKN sudah wajar hanya kerana saya bersetuju menjadi calon PKN di Kuala Langat dan saya anggap sah kerana watikah calon pilihan raya saya telah ditandatangani oleh Dr Wan Azizah, presiden PKN!

Tapi saya juga berasa sedih kerana saya tidak sempat menjelaskan segala perkembangan ini kepada Ustaz Fadzil Noor.

Memilih PAS atau PKN seolah-olah memilih di antara Ustaz Fadzil Noor atau Anwar Ibrahim. Ini kerja mustahil bagi saya!

Ustaz Fadzil Noor adalah sahabat karib Anwar Ibrahim. Pada masa Abim dahulu, ketika Anwar Ibrahim menjadi presiden maka Ustaz Fadzil Noor adalah timbalan presiden.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan di Kem Kamunting, Ustaz Fadzil memangku jawatan presiden Abim.

Bagi saya Ustaz Fadzil Noor adalah pemimpin saya dan guru saya dalam hal ehwal gerakan Islam.

Anwar Ibrahim pula adalah orang yang sentiasa memberi motivasi dan idealisme perjuangan kepada saya dalam pemikiran politik kontemporari.

Mustahil saya pilih Anwar Ibrahim dan ketepikan Ustaz Fadzil Nor atau bersama dalam parti Ustaz Fadzil Nor dan menjauhi parti Anwar Ibrahim.

Selepas PRU 1999, PKN tidak ada pilihan selain melantik saya menjadi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti melalui MPT PKN.

Berada dalam MPT adalah platform terbaik bagi saya. Saya dapat menggerakkan pelbagai jawatankuasa dan beberapa penganjuran himpunan aman. Semuanya berdepan dengan keganasan polis.

Kesan aktifnya saya menggerakkan himpunan aman, gangguan polis selalu berlaku ke atas keluarga saya.

Tanggungjawab usaha percantuman antara PKN dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) diberikan kepada saya setelah dua naib presiden PKN tidak berjaya mewujudkannya.

Dengan itu, jadilah PKN sebagai PKR.

Disebabkan kejayaan himpunan-himpunan aman yang saya ketuai jawatankuasa penganjurnya, saya ditangkap bawah ISA buat kali kedua pada tahun 2001 dan dipasung selama dua tahun di Kem Kamunting.

Selepas saya bebas pada tahun 2003, iaitu pada tahun 2004, saya bertanding di Paya Besar bawah tiket PKR.

Selepas PRU berlalu, Anwar juga dibebaskan, sudah tiba masanya untuk saya membantu PAS.

Saya bertemu terus Anwar Ibrahim pada tahun 2004 dan meminta izin untuk membantu PAS sebagai menghargai persahabatan dan menebus kegagalan saya tidak memberi sebarang jawapan terhadap tawaran Ustaz Fadzil Nor pada tahun 1999.

Anwar Ibrahim keberatan untuk melepaskan saya.

Hasrat membantu PAS untuk memenuhi permintaan Ustaz Fadzil Nor 1999 telah saya tunaikan apabila saya teruskan langkah perjuangan dalam PAS sehingga memenangi pilihan raya 2008 dan 2013 dan menjadi wakil rakyat DUN Hulu Kelang.

Kemasukan saya dalam PAS adalah harmoni dan hubungan dengan pimpinan PKR terus berjalan dengan baik.

Bahkan saya dilantik oleh Dr Wan Azizah untuk menjadi pengerusi sebuah jawatankuasa untuk mengagihkan dana sebanyak RM100,000 daripada kerajaan Selangor untuk kebajikan aktivis dan reformis.

Tugas telah saya sempurnakan dengan baik.

YB ada perancangan masuk PKR?

Perancangan saya simple. Saya mahu bersama PH mencipta hala tuju dan sejarah Malaysia Baru.

Mungkin Saudara mahu tahu apa yang saya percaya tentang PH dan tiga rakan tahalufnya – ia adalah satu naratif baru bagi satu politik alternatif hebat.

PH akan terus berpakat dan dalam proses tersebut banyak cabaran yang telah dihadapi.

Saya amat yakin terhadap PH kerana karisma dan idealisme serta maestro unggulnya, iaitu Anwar Ibrahim pemimpin ulung yang mampu mengolah erti perjuangan.

Saya yakin bahawa PH dengan PKR, DAP dan Amanah adalah gandingan pakatan politik yang terbaik di bawah teraju dan pimpinan Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin progresif dan inklusif PH.

Saya ingin menawarkan diri berdepan dengan Azmin Ali di parlimen Gombak dalam PRU akan datang sekiranya saya sihat serta dianggap oleh pimpinan PH sebagai seorang winnable candidate (calon boleh menang).

Azmin Ali

Memandangkan kerusi Gombak milik PKR, maka jika saya terpilih saya bersedia untuk menjadi ahli PKR.

Beberapa kelompok masyarakat India, Serani, Cina, Punjabi, India, kelompok Orang Asli seperti Temuan bertemu saya memberi sokongan kepada saya untuk melawan Azmin Ali.

Di Gombak mereka dapat dikumpulkan antara 5,000 hingga 7,000 orang.

Di samping itu menurut seorang pimpinan Pemuda PKR, persatuan-persatuan Minang, Bawean dan etnik Sumatera yang bilangannya hampir 20,000 orang di Gombak turut memberi sokongan kepada siapa sahaja yang akan menentang Azmin Ali.

Maka menyertai PKR bagi saya adalah untuk kesepaduan kerja, meluaskan demokrasi serta mengukuhkan solidariti PH.

Ini dapat dilihat dari apa yang telah saya lalui apabila diamanahkan oleh PKN untuk bertanding di kawasan Parlimen Kuala Langat pada PRU 1999 dan PKR di kawasan Parlimen Paya Besar pada PRU 2004.

Demikian juga saya telah bertanding mempertahankan kerusi DUN Hulu Kelang sehingga memenanginya bagi penggal ketiga dalam PRU 2018 adalah di atas tiket PKR.

Apakah manfaat daripada dua kali saya bertanding di kawasan parlimen di atas tiket PKR?

Ketika saya bertanding di Kuala Langat gelombang reformasi sedang memuncak. Sebagai bekas tahanan ISA dan presiden JIM, saya mendapat sokongan di segi tenaga sukarelawan, bahan-bahan pilihan raya, makanan serta wang ringgit melimpah datang kepada saya.

Daripada sumbangan penyokong dan orang ramai ini saya agih-agihkan kepada DUN yang ditandingi oleh parti-parti dalam Barisan Alternatif (BA) ketika itu.

Ketika saya bertanding di Paya Besar pula saya baru bebas dari tahanan Kem Kamunting.

Ramai yang menunjukkan sokongan agar saya menang melawan seorang menteri BN yang juga Ketua Wanita Umno Nasional.

Wang ringgit mencurah-curah masuk dan saya agihkan secukupnya kepada ketiga-tiga DUN yang ditandingi oleh PAS bersama PKR yang pada masa itu masih dalam pakatan politik BA.

Sementara itu saya akan menjalankan tugas-tugas saya sebagai ahli dan ketua Amanah kawasan Gombak dan seorang anggota pimpinan Amanah Selangor.


SAARI SUNGIB ialah anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS