Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021: Formula baru tambah peruntukan SK, SJKC
Diterbitkan:  Nov 25, 2020 9:38 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Peruntukan untuk sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina telah ditingkatkan, menerusi formula baru pengagihan peruntukan penyelenggaraan oleh Kementerian Pendidikan.

Semua sekolah jenis lain pula akan menyaksikan pengurangan peruntukan, dengan pemotongan terbesar untuk sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah conforming dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Sekolah conforming adalah sekolah yang dahulunya sekolah mubaligh atau sekolah menengan China, yang telah dijadikan sekolah jenis kebangsaan dengan bahasa Mandarin sebagai mata pelajaran wajib.

Bagaimanapun, apabila dikira secara purata, setiap sekolah mendapat peruntukan yang sama.

Secara ringkas, jenis sekolah yang didanai sepenuhnya oleh kerajaan dan mempunyai bilangan yang banyak akan menerima lebih banyak peruntukan.

Sekolah bantuan kerajaan dengan lebih sedikit bilangannya pula akan menerima dana yang lebih sedikit.

Dalam senarai yang diberikan Menteri Pendidikan Radzi Jidin di dewan rakyat, sekolah menengah dan rendah secara keseluruhan akan menerima RM477.48 juta pada tahun depan, berbanding RM300 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan kenaikan 57.7 peratus.

Sekolah jenis kebangsaan Cina (kerajaan dan bantuan kerajaan) diberi peruntukan RM74.07 juta pada tahun depan, berbanding RM50 juta pada tahun ini.

Ia merupakan kenaikan 48.1 peratus.

Dua jenis sekolah ini merangkumi sebahagian besar sekolah di seluruh negara.

Daripada 10,223 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 7,694 adalah sekolah kerajaan manakala 1,300 lagi sekolah jenis kebangsaan Cina.

Semua sekolah jenis lain akan menyaksikan pemotongan peruntukan, terutama SBP (91.44 peratus pemotongan), sekolah conforming (79.5 peratus pemotongan) dan sekolah agama bantuan kerajaan (75.54 peratus pemotongan).

Berbanding RM50 juta yang diterima tahun ini, 56 buah SBP menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.28 juta pada 2021.

Sejumlah 74 sekolah conforming (kerajaan dan bantuan kerajaan) pula diperuntukkan RM4.11 juta pada 2021, berbanding RM20 juta tahun ini.

Begitu juga dengan 224 buah sekolah agama bantuan kerajaan yang diperuntukkan RM12.23 juta tahun depan, berbanding RM50 juta tahun ini.

Peruntukan untuk sekolah mubaligh (kerajaan dan bantuan kerajaan) pula dipotong sebanyak 58.1 peratus. Peruntukan keseluruhan untuk 382 sekolah itu pada tahun depan adalah RM20.94 juta.

Sekolah jenis kebangsaan Tamil (kerajaan dan bantuan kerajaan) pula menyaksikan pemotongan 40 peratus - daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM29.98 juta untuk tahun depan. Terdapat 527 sekolah jenis itu di seluruh negara.

Formula lebih bersekadar

Semalam, Radzi juga memberi taklimat media yang lebih terperinci semalam.

Jumlah RM620 juta untuk peruntukan penyelenggaraan pad mulanya dibahagikan dengan 10,223 sekolah di seluruh negara, dengan purata RM60,648 setiap sekolah.

Dengan menggunakan purata ini, sekolah bantuan kerajaan yang didanai 90 peratus oleh kerajaan dan sejumlah 1,930 sekolah akan mendapat peruntukan keseluruhan RM105.34 juta.

Baki RM514.66 juta akan diagihkan kepada 8,293 sekolah kerajaan.

Ia merangkumi 83 peratus peruntukan untuk sekolah kerajaan dan 17 peratus untuk sekolah bantuan kerajaan.

"Sekolah kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan. Kita juga bantu sekolah bantuan kerajaan sebanyak mungkin.

"Saya fikir peratusan (peruntukan) ini lebih bersekadar," kata Radzi.

Ditanya mengenai faktor yang diambil kira, Radzi berkata formula itu mempertimbang jenis, kategori dan bilangan sekolah.

"Ia pengiraan yang jelas dan mudah. Tiada faktor lain terlibat. Ia sangat telus dan bagi saya pengiraan ini boleh difahami semua orang," katanya lagi.

Sekolah boleh mohon lebih peruntukan

Selain peruntukan penyelenggaraan, KPM turut memberi peruntukan berikut:

RM50 juta untuk institut pendidikan kerajaan

RM50 juta untuk pemulihan cerun

RM50 juta untuk untuk membina dan menaik taraf dewan dan kemudahan lain

RM30 juta untuk peruntukan tambahan kritikal

Menurut Radzi, peruntukan tambahan kritikal untuk kategori sekolah yang menerima peruntukan RM30 juta ke bawah dan memerlukan penambahbaikan segera.

Berdasarkan pecahan peruntukan, ia bermakna semua jenis sekolah, kecuali sekolah kerajaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina, dapat memohonnya.

Lihat Komen
ADS