Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Adakah M'sia pilih vaksin Covid-19 dengan kos penyimpanan lebih tinggi?'
Diterbitkan:  Nov 28, 2020 10:12 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu membangkitkan persoalan sama ada kerajaan membuat keputusan tepat untuk membeli vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer, yang memerlukan suhu serendah -70 darjah Celcius.

Ia selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Pfizer untuk 12.8 juta dos vaksin syarikat itu.

Liu bertanya sama ada hospital dan klinik di Malaysia memiliki kemudahan untuk menyimpan vaksin dalam suhu serendah itu.

Dia juga membangkitkan laporan Jakarta Globe berkenaan Indonesia mungkin tidak akan mendapatkan vaksin Covid-19 daripada Pfizer atas dasar kesukaran menyimpannya dalam suhu tersebut.

"Selain membelanjakan wang untuk vaksin, adakah kerajaan akan mengeluarkan lebih banyak dana untuk soal logistik dalam mengedarkan dan menyimpan vaksin Pfizer di seluruh negara?

"Bukankah wang itu lebih baik digunakan untuk membeli lebih banyak vaksin untuk lebih ramai orang?" soalnya dalam kenyataan.

Katanya lagi, selain kemudahan penyimpanan, hospital dan farmasi juga mengambil kira faktor pengangkutan dan gudang.

"Berbanding vaksin yang dibangunkan Pfizer, vaksin Sinovac boleh disimpan dalam suhu peti ais biasa iaitu dua hingga lapan darjah Celcius, yang lebih praktikal untuk iklim tropika negara kita," kata Adun DAP itu lagi.

Sinovac adalah syarikat farmaseutikal berpangkalan di Beijing yang kini dalam ujian klinikal fasa ketiga di beberapa negara. Bagaimanapun ia telah pun digunakan di China untuk kes kecemasan.

Semalam, Muhyiddin menyuarakan keyakinan yang kemudahan penjagaan kesihatan tempatan dapat menghadapi cabaran itu.

Katanya, ini kerana pelaksanaannya bukan saja melibatkan kemudahan Kementerian Kesihatan, tetapi agensi kerajaan lain termasuk hospital tentera dan hospital universiti.

Dalam pada itu, Liu turut menggesa Muhyiddin bersikap telus berkenaan kos vaksin daripada Pfizer.

"Melainkan jika Pfizer dapat membekalkan vaksin dengan harga lebih rendah daripada yang diberikan kerajaan China (bawah AS$20 untuk satu dos), tiada sebab mengapa kerajaan Malaysia perlu tergesa-gesa memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta," katanya.

Dia juga menggesa kerajaan menjelaskan tentang tahap keselamatan vaksin tersebut.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia perlu disahkan selamat terlebih dahulu.

Katanya, walaupun negera menyertai perjanjian vaksin sebelum sebarang vaksin diluluskan bagi memastikan negara tidak ketinggalan, penggunaannya tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS