mk-logo
Berita
Kalau tanya saya semalam lagi nak parlimen bubar, kata PM

Perdana Menteri mengakui jika diturutkan hatinya dia mahu saja mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan agar parlimen dibubarkan bagi membuka laluan kepada pelaksanaan pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun kata Muhyiddin Yassin niat itu tidak dapat dilaksanakan kerana negara ini sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

Katanya keinginan itu timbul ekoran ada pihak yang berasakan Belanjawan 2021 perlu ditolak - suatu langkah yang boleh menjadika petanda bahawa perdana menteri tidak lagi memiliki sokongan di parlimen.

Ia juga boleh membawa kepada PRU ke-15.

Kata Muhyiddin negara kini sedang dilanda Covid-19 dan dia mahu memastikan rakyat menerima bantuan yang diperlukan menerusi Belanjawan 2021.

“Ada yang berpendapat Belanjawan 2021 perlu ditolak untuk membolehkan PRU diadakan. Tak perlulah buat begitu.

“Kalau tanya saya, mungkin semalam lagi saya telah nasihatkan Agong supaya bubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan. Tetapi kita semua tahu masalahnya ialah Covid-19.

“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, apabila pandemik Covid-19 berakhir, kita adakanlah PRU. Kita kembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat buat keputusan untuk memilih kerajaan yang mereka mahu,” katanya.

Diterima di Sabah, terima seluruh negara  

Dia berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Muhyiddin sebelum ini berdepan pertikaian sebahagian pihak mengenai majoriti yang dimilikinya di Dewan Rakyat. Ketika dilantik sebagai perdana menteri pengkritik mendakwa Muhyiddin sebenarnya tidak memiliki sokongan majoriti pun.

Apabila Muhyiddin mengadap Agong bersama cadangan agar darurat diisytiharkan, banyak pihak melihat ia sebenarnya helah kerajaan untuk terus berkuasa kerana ia dibuat menjelang persidangan Dewan Rakyat.

Spekulasi turut kuat bertiup bahawa Belanjawan 2021 akan ditolak oleh pembangkang dan akan disertai ahli parlimen kerajaan.

Bagaimanapun, tidak seperti jangkaan pelbagai pihak, Belanjawan 2021 diluluskan dengan mudah di peringkat dasar menerusi undian suara pada 26 Nov lalu.

Bersatu kini berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai bersama PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Ia kemudian disokong oleh BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Baca PN pula tubuhkan majlis presiden


Kata Muhyiddin, dalam PRU ke-15 nanti Bersatu, Umno dan PAS tidak boleh bertembung antara satu sama lain. Mereka juga, katanya, tidak boleh memilih haluan berbeza.

Dalam ucapannya itu juga Muhyiddin mencadangkan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua parti dalam PN, BN, GPS dan GRS supaya hal berkaitan dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain dapat dibincangkan.

“Saya hendak beritahu saudara dan saudari para perwakilan sekalian, hala tuju parti kita di masa hadapan ialah untuk memperkukuh hubungan antara parti-parti dalam PN, BN, GPS dan GRS,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan Bersatu akan menggunakan lambang PN dalam PRU akan datang.

Katanya, lambang PN dapat diterima seperti yang dibuktikan dengan kejayaan dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.

“Jika PN dapat diterima di Sabah, saya yakin PN dapat diterima oleh rakyat di seluruh negara.

“[...] Saya percaya, dalam PRU yang akan datang, PN akan diterima baik oleh rakyat Malaysia," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini