Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Johor lebih stabil jika Umno, PH bergabung - Adun DAP
Diterbitkan:  Dec 4, 2020 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Adun DAP Sheikh Omar Ali berkata bahawa Kerajaan Negeri Johor akan lebih stabil sekiranya negeri itu mengikut formula Perak.

Sheikh Omar merujuk penggulingan Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu sebagai menteri besar Perak yang dikaitkan dengan peranan Adun dari Umno dan PH.

Wakil rakyat DUN Paloh itu berkata bahawa formula Perak akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri di Johor.

"Jika Johor ikut formula Perak, kerajaan negeri akan lebih stabil.

"Jika formula Perak diguna pakai, Umno (14 kerusi) bergabung dengan PH (27 kerusi) akan membentuk jumlah 41 di mana jumlah ini adalah jauh lebih besar berbanding sekarang ini," katanya dalam satu hantaran Facebook, sebentar tadi.

Dia berkata demikian mengulas usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak pagi tadi.

Umno Johor pada masa ini memiliki 14 kerusi DUN, Bersatu (12), MIC (2) dan PAS (1).

PH memiliki 27 kerusi DUN.

Terdahulu, Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu gagal mendapat sokongan yang cukup dalam undi percaya terhadapnya untuk kekal sebagai menteri besar.

Seramai 48 Adun (Umno 24 dan PH 24) menolak berbanding 10 yang menyokong Faizal yang juga Adun Chenderiang. Terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

"Di Johor, sebanyak 41 kerusi DUN (Umno dan PH) boleh membentuk majoriti lebih dua pertiga di DUN Johor. Kedudukan ini sangat stabil dan meyakinkan.

"Bezanya hanyalah, menteri besar sedia ada pada ketika ini datangnya dari Umno. Ini sedikit berbeza dari situasi di Perak di mana menteri besar adalah daripada Bersatu.

"Soal bersetuju atau tidak, itu perkara lain.

"Tetapi dari segi angka, ya. Memang jika Umno dan PH bekerjasama di Johor, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri," tambahnya.

Untuk rekod, kerajaan PH Johor tumbang  pada Mac lalu, selepas Bersatu bertindak menyertai BN dan PAS bagi menubuhkan kerajaan PN.

Lihat Komen
ADS