Empat lagi Pemuda Umno bahagian di Pulau Pinang 'menongkah arus' apabila meluluskan usul penggiliran jawatan Ketua Menteri dalam mesyuarat perwakilan masing-masing hujung minggu lalu walaupun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan jawatan itu tidak akan digilirkan.

Pemuda bahagian Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Bagan dan Bukit Gelugur tetap berpendirian bahawa jawatan berkenaan patut digilirkan di kalangan anggota Barisan Nasional bagi menjamin kepentingan orang Melayu Pulau Pinang dipelihara.

Pada minggu sebelumnya Pemuda bahagain Nibong Tebal meluluskan usul berkenaan dan tetapi cadangan tersebut telah dibantah keras oleh parti Gerakan yang menguasai jawatan Ketua Menteri negeri itu selama ini.

Abdullah dalam reaksinya kepada usul Pemuda Nibong Tebal itu telah menegaskan bahawa jawatan tersebut tidak akan digilirkan. Namun beliau menggesa Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengkaji punca-punca yang menyebabklan lahirnya rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Umno itu.

Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam, Ramlan Ishak berkata: " Kami bukan melawan Pak Lah, cuma kami mahu menyampaikan mesej kepada beliau tentang rasa tidak puas hati orang Melayu Pulau Pinang.

"Banyak perkara yang berlaku di Pulau Pinang yang tidak diketahui oleh orang di Kuala Lumpur."

Menurut beliau, sudah lama Pemuda Umno negeri mahu menyampaikan kepada Abdullah tentang rasa ketidakpuasan terhadap layanan kerajaan negeri terhadap orang Melayu negeri itu, tetapi tidak mendapat kesempatan untuk berbuat demikian.

Pandangan orang bawah

"Jadi kita gunakan saluran mesyuarat Pemuda Umno kerana dirasakan ini satu-satunya cara yang paling sesuai. Kami berharap Pak Lah akan mengkaji segala masalah dan menimbangkan permintaan kami," tambahnya.

Ramlan berkata, Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang patut mendengar pandangan orang bawahan.

Menurutnya. kalaupun jawatan Ketua Menteri tidak dapat digilirkan, mungkin satu makenisme lain dibentuk umpamannya mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri yang mempunyai kuasa eksekutif agar kuasa Ketua Menteri dapat diagihkan.

"Orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan penempatan. Ketidakadilan kerajaan negeri terhadap orang Melayu sudah keterlaluan," tegasnya lagi.

Ketua Pemuda Umno Bukit Gelugur, Mohd Riduan Rahim pula berkata, usul penggiliran jawatan Ketua Menteri yang diterima sebulat suara oleh semua perwakilan, mengambarkan hasrat di peringkat akar umbi.

"Perdana Menteri boleh cakap apa saja, beliau jauh di Kuala Lumpur sedangkan kami di Pulau Pinang ini mahukan perubahan. Kami mahu kerajaan negeri lebih perihatin terhadap nasib orang Melayu di sini."

"Politik di Pulau Pinang ini macam politik PBB...PBB cakap banyak tapi yang buat keputusan Amerika, kami bersuara di sini tapi yang buat keputusan ialah Kuala Lumpur,"ujarnya.

Berdasarkan realiti

Mohd Riduan menegaskan, orang Melayu merasa terpinggir dari segala aspek terutamanya dari segi perumahan.

"Projek-projek perumahan semuanya mahal dan rumah kos rendah dibina di kawasan pinggir yang akhirnya menyebabkan orang Melayu terpinggir dari pembangunan.

"Kerajaan negeri cakap saja ada bagi bantuan tapi sebenarnya depa (mereka) tak bantu apa-apa pun,"ujarnya.

Naib Ketua Pemuda bahagian Permatang Pauh, Azmi Mat Imam pula berkata usul penggiliran Ketua Menteri yang dibawa sebagai usul tergempar itu telah diterima sebulat suara dan akan dibawa mesyuarat Pemuda Pusat.

" Kita bawa usul ini bukan atas dasar perkauman tetapi berdasarkan realiti. Kita mahu Dr Koh melakukan sesuatu yang lebih bermakna untuk orang Melayu,"ujarnya.

Azmi menegaskan, walaupun Perdana Menteri telah bertegas jawatan Ketua Menteri tidak akan digilirkan namun Pemuda Umno berharap beliau memberi tekanan kepada Dr Koh melakukan perubahan di Pulau Pinang.