mk-logo
Berita
Pemuda Umno desak PM campur tangan jualan 'luar tabii' aset THP
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Pemuda Umno meluahkan rasa kecewa susulan dakwaan Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim mengenai kelulusan penjualan aset tanah ladang kelapa sawit milik TH Plantation Berhad (THP) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd dengan harga RM170 juta.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya telah berkali-kali mendesak untuk tidak meneruskan penjualan kedua-dua syarikat tersebut kerana harganya jauh lebih rendah daripada penilaian rasmi terakhir oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Pemuda Umno telah berkali-kali mendesak agar Lembaga Tabung Haji (TH) dan Pengurusan THP tidak meneruskan penjualan kedua-dua syarikat Bumi Suria Ventures Sdn Bhdb (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) yang memiliki 6,514 hektar tanah di Sarawak.

“Termasuk melalui serahan memorandum membantah penjualan aset-aset THP kepada menteri agama menteri ekonomi dan menteri kanan perdagangan dan industri asas tani pada 30 November 2020 di lobi Parlimen Malaysia.

“Harga jualan pada RM170 juta ini telah disahkan sebagai 'tidak masuk akal' kerana jauh lebih rendah dari penilaian rasmi terakhir oleh JPPH ke atas aset ladang ini iaitu RM198 juta setelah 3 kali rayuan dibuat oleh THP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, nilai asal terhadap aset ladang terbabit juga dilihat meragukan.

“Lebih meragukan, nilai asal ke atas aset ladang pada 2017 oleh jurunilai profesional CH Williams Talhar & Wong adalah pada harga RM380 juta sebelum ditukar kepada RM120 juta sahaja oleh Khong & Jaafar yang digantikan oleh Pengurusan baru THP lantikan PH.

“Nilaian RM120 juta ini juga lebih rendah dari harga kos asal pembelian aset ladang pada 2013 ini iaitu RM234 juta,” katanya lagi.

Untuk rekod, syarikat itu memiliki 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak.

Sementara itu, Asyraf berkata, pihaknya juga menggesa campur tangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menghentikan penjualan tersebut.

“Pemuda Umno mendesak agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin segera campur tangan menghentikan penjualan ‘luar tabii' ini oleh Pengurusan THP.

“[…] yang merupakan lantikan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu kerana jelas tidak memberi manfaat kepada THP dan 9.4 juta pendeposit TH.

Lihat Komen
ADS