Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Persetujuan belakang tabir': Negara yang akan bayar harganya - Credit Suisse
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 12:06 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah bernilai RM1 juta menimbulkan kerisauan syarikat perkhidmatan kewangan, Credit Suisse Malaysia.

Pengarah urusan dan ketua ekuiti syarikat itu, Stephen Hagger berkata ini kali ketiga kes yang "jelas" melibatkan kepentingan awam digugurkan.

"Mustahil untuk membuktikan panggilan telefon (berkenaan keputusan itu) ada dibuat, tetapi bukan rahsia yang mana-mana kerajaan gabungan yang rapuh perlu terus membuat persetujuan di belakang tabir untuk kekal berkuasa.

"Malangnya, negara yang akan membayar harganya, misalnya dengan penurunan penarafan oleh Fitch Rating Inc mutakhir ini," katanya seperti dipetik The Malaysian Reserve semalam.

Menurut laporan, kenyataan itu dibuat menerusi emel dalaman syarikat tersebut.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan agar Tengku Adnan dilepas tanpa dibebaskan susulan perkembangan baru dalam kes yang melibatkan salah seorang saksi yang memerlukan siasatan lanjut.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan akan mula menyiasat perkembangan tersebut dan akan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

Portal Malay Mail yang turut melaporkan kenyataan Hagger, memetiknya sebagai berkata ia merupakan kes yang "jelas" memandangkan syarikat pemaju yang didakwa memberi rasuah kepada Tengku Adnan telah mengaku bersalah.

Tengku Adnan yang jug ahli Parlimen Putrajaya didakwa telah menerima wang tunai RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon.

Pada 17 Sept 2019, Tan mengaku bersalah atas pertuduhan subahat dan didenda RM1.5 juta.

Dua lagi kes DNAA yang dibangkitkan Hagger adalah pertuduhan terhadap Riza Aziz dan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman.

Riza yang merupakan anak tiri Najib Razak diberikan DNAA ddalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana 1MBD berjumlah AS$248 juta.

Musa pula diberikan perintah itu dalam 46 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan konsesi balak di Sabah selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

Menurut Hagger, kedua-dua kes "seperti memiliki bukti yang kuat".

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS