Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu Kedah enggan dedah jumlah kerusi ingin ditandingi pada PRU15
Diterbitkan:  Dec 11, 2020 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Bersatu Kedah yakin dengan kekuatan mereka di negeri itu tetapi tidak akan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan untuk PRU15.

Menyifatkannya sebagai "gergasi yang sedang tidur", Ketua Bersatu Kedah Mohd Suhaimi Abdullah berkata pihaknya akan bersikap secara rasional bagi memastikan strategi yang dirangka akan mendatangkan kemenangan buat mereka dan parti sekutu lain.

"Tak guna kalau kita beria-ia mahu bertanding tetapi kalah. Untuk itu, kita bersikap rasional dalam soal pengagihan kerusi.

“Kekuatan Bersatu di Kedah saya sifatkan sebagai gergasi yang sedang tidur. Kita mungkin tampak senyap tetapi kekuatan itu memang ada,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Suhaimi, dia enggan mendedahkan jumlah kerusi kerana pada masa ini belum tentu Perikatan Nasional (PN) akan kekal sehingga PRU15, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Ada dua pilihan, katanya lagi, iaitu bertanding bersama-sama PAS sahaja atau turut melibatkan Umno dan sekatat ini ia belum jelas dan bergantung kepada kepimpinan tertinggi.

"Kita tak mahu kelihatan tamak atau agresif. Hanya apabila tiba masanya, insya-Allah kita mohon sebanyak yang boleh,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Bersatu Perlis Izizam Ibrahim dilaporkan mendedahkan parti itu mahu bertanding tujuh daripada 15 kerusi DUN dan satu daripada tiga kerusi Parlimen di negeri itu.

Pada PRU lalu, ketika masih dalam PH, Bersatu tewas kesemua lima kerusi DUN yang ditandingi di Perlis di tangan calon Umno dan PAS.

Sementara itu, Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris pula dilaporkan berkata, pihaknya berhasrat bertanding di lapan kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Jumlah itu kurang berbanding PRU lalu, di mana parti itu bertanding di 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen di Terengganu.

Bersatu mendapat kerusi Parlimen Hulu Terengganu selepas pemegangnya, Rosol Wahid keluar Umno untuk menyertai parti itu.

Lihat Komen
ADS