mk-logo
Berita
Razman takkan tak faham titah Sultan Nazrin - PKR Perak

Alasan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bahawa dirinya 'khilaf' kerana tidak menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa lalu tidak dapat diterima.

Ketua Penerangan PKR Perak Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata demikian walaupun Razman dan dua lagi Adun PAS telah memohon ampun secara terbuka kepada baginda.

"Alasan kekhilafan tidak boleh diterima rakyat. Sebagai seorang wakil rakyat dari Perak, kesetiaan dia kepada raja dan rakyat negeri perlu mengatasi kesetiaan kepada mana-mana organisasi.

"Dah jadi pemimpin takkan tak reti nak faham titah Tuanku, apabila Tuanku dah titah wajib mengadap dan semasa menghadap lah perlu mohon masa dari Tuanku untuk PAS pusat buat keputusan bukan khabar begitu saja.

"Tindakan ingkar titah Tuanku untuk menghadap merupakan biadab, kurang cerdik dan penderhakaan kepada institusi raja," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Arafat (gambar, bawah), bagi menebus 'kekhilafan' itu, Razman perlu melepaskan jawatan sebagai pesuruhjaya PAS Perak.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol bersama Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) semalam memohon ampun secara terbuka mengakui 'kekhilafan' mereka kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan.

"Sehubungan dengan itu PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan untuk kami," kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin Shah memanggil menghadap Adun Bersatu dan PAS ke Istana Kinta di Ipoh berikutan kemelut politik di negeri itu selepas bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu digulingkan pada Jumaat minggu lalu melalui undi percaya yang diusulkan oleh seorang Adun Umno.

Bagaimanapun, Arafat yang juga Adun Hulu Kinta mempersoalkan 'keikhlasan' PAS memohon ampun daripada baginda sultan.

"Kalau kita lihat, Razman hanya bertindak (mohon ampun) selepas desas-desus PAS tidak akan dilantik sebagai exco.

"Patut kita lihat, kesungguhan PAS mohon ampun. Bukan segera tetapi hanya selepas khabar angin bahawa mereka tidak disenaraikan.

"Saya harap seharusnya MB baru (Saarani Mohamad) tidak memberi Adun-adun PAS Perak kedudukan exco sebagai pengajaran kepada pemimpin lain," katanya.

Lihat Komen
ADS