Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pihak cabar kerajaan gagal buktikan ada majoriti - Hadi

Pihak yang mencabar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal membuktikan yang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata sehingga hari ini pihak berkenaan masih gagal membuktikan perkara itu.

"Sehingga hari ini pihak yang mencabar (keabsahan) masih gagal. Sama ada undi peringkat dasar atau peringkat jawatan kuasa kita menang.

"Dalam demokrasi, walaupun menang satu undi, tetapi tetap boleh menjalankan tugas. Walaupun satu undi, tetap menang," katanya dalam sesi dialog bersama media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk selepas berlaku krisis politik pada penghujung Feb lalu.

Krisis berkenaan bermula apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada Pakatan Rakyat, yang memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 2018. Tidak bersetuju dengan langkah tersebut, Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Krisis politik itu berakhir apabila Yang di-pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.

Bagaimanapun Muhyiddin hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, manakala hubungan antara parti-parti dalam PN juga dikatakan rumit, terutamanya antara Bersatu dan Umno.

Sejak Sept lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa memiliki majoriti  “kukuh dan meyakinkan” bagi dilantik sebagai perdana menteri yang baru.

Presiden PKR itu diperkenan mengadap Agong pada 13 Okt bagi mempersembahkan dokumen yang didakwa mengandungi butiran sokongan majoriti anggota parlimen.

Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar tidak mempersembahkan senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya.

Pada 14 Okt lalu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan bahawa perdana menteri menghalang usul undi tidak percaya terhadapnya.

Azhar berkata, berdasarkan rekod Dewan Rakyat sebelum ini, usul yang sama pernah dikemukakan dan tidak dihalang, namun tidak sempat dibahaskan disebabkan susunan aturan mesyuarat.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bahawa Anwar Ibrahim memperoleh sokongan 10 ahli parlimen Umno bagi membentuk kerajaan, Hadi berkata, ia isu yang baru ditimbulkan.

Katanya, Anwar pernah mendedahkan yang dia memiliki jumlah yang lebih besar.

"Ini bukan yang petama (dakwaan memiliki majoriti), kita perlu berita yang sebenarnya (sahih). Kita tak perlu terkapai-kapai

"Dulu bukan 10, (tapi) 120 (ahli Parlimen), kita tunggu berita sahih," katanya.

Lihat Komen
ADS