Ramai ahli kecewa ceramah Dr M dibatalkan
Ramai ahli Umno Bahagian Padang Besar tidak puas hati dengan pembatalan program ceramah oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya diadakan sempena mesyuarat perwakilan bahagian itu pada 10 September ini.
Ramai ahli Umno Bahagian Padang Besar tidak puas hati dengan pembatalan program ceramah oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya diadakan sempena mesyuarat perwakilan bahagian itu pada 10 September ini.
Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ini kerana mereka ingin mendengar sendiri penjelasan dari Dr Mahathir terhadap tuduhan yang dilemparkan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, mereka tidak mahu hanya mendengar sebelah pihak sahaja sebaliknya mahu juga mendapat jawaban daripada Dr Mahathir sendiri yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.
"Mereka kecewa kerana larangan seperti ini tidak pernah berlaku semasa Tun Dr Mahathir menjadi berkuasa atau zaman-zaman sebelum itu. Mengapa di zaman Pak Lah?" katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, katanya Umno Bahagian Padang Besar akan menulis surat kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad untuk membolehkan Dr Mahathir berceramah di bahagian itu pada masa akan datang.
Katanya, ini adalah sebagai memenuhi kehendak akar umbi ahli dan penyokong Umno Padang Besar yang mahu berjumpa dan mendengar ceramah Dr Mahathir.
Batal terus
Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Umno Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, pihaknya sebelum ini bercadang untuk memindahkan tarikh ceramah Dr Mahathir itu kepada 10 September berikutan kegagalan mendapatkan permit polis untuk mengadakannya pada 26 Ogos depan.
Bagaimanapun, umno bahagian itu kemudiannya mengambil untuk membatalkan terus ceramah Dr Mahahthir itu sebagai mematuhi arahan parti agar tidak mengundang bekas Presiden Umno itu.
Azizan berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) yang dipengerusikannya sendiri baru-baru ini.
"Keputusan pembatalan ceramah oleh Tun Dr Mahathir mendapat persetujuan majoriti ahli jawatankuas bahagian kerana berpendapat ia untuk kebaikan parti dan bangsa.
"Kami mematuhinya kerana tidak mahu ia mengeruhkan lagi politik Umno dan juga tidak mahu Umno Padang Besar dipandang serong oleh bahagian lain kerana mengundang Tun Dr Mahathir," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Azizan berkata, pihaknya masih berhasrat untuk membawa Dr Mahathir untuk menyampaikan ceramah di Padang Besar pada masa akan depan.
Beliau berkata, ramai ahli Umno Padang Besar kecewa dengan pembatalan ceramah Dr Mahathir itu, terutama di kalangan ahli-ahli veteran parti itu.
Tarikh baru
"Orang tua ramai yang tidak setuju tetapi orang muda mengambil sikap mendiamkan diri. Secara keseluruhannya isu tersebut tidak memecahbelahkan Umno bahagian," katanya.
Sebelum ini, ceramah Dr Mahathir itu dijadual diadakan di Dewan Institut Kemahiran Mara (IKM) Besari pada 26 Ogos ini dan diikuti oleh mesyuarat bahagian berkenaan di tempat yang sama keesokan harinya.
Bagaimanapun, pihak IKM telah menarik balik kebenaran untuk menggunakan dewannya bagi kedua-dua majlis tersebut, dipercayai atas arahan 'pihak atasan'
Berikutan itu, mesyuarat Umno bahagian berkenaan telah ditunda sehingga 10 September depan dan ianya dijangka diadakan di dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri atau dewan Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan di Bukit Puteri, di dalam kawasan Padang Besar.
"Saya lebih suka dengan dewan Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan kerana ia merupakan tempat regular untuk Umno Bahagian Padang Besar mengadakan mesyuarat bahagian setiap tahun," katanya.
Beliau berkata, Umno Bahagian Padang Besar mempunyai 103 cawangan dengan lebih 21,000 ahli. Jumlah perwakilan untuk mesyuarat pada 10 September ini ialah seramai 500 orang.
Mengenai usul yang akan dibincangkan dalam mesyuarat perwakilan kelak, Azizan berkata, Jawatankuasa Usul sedang berbincang mengenai perkara itu dan akan memutuskannya tidak lama lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.