Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Darurat di Gerik dan Bugaya, PRK tangguh
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 3:56 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk pengisytiharan darurat di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah supaya pilihan raya kecil di kedua-dua kerusi berkenaan ditangguhkan.

"Saya telah menyembah maklum akan nasihat jemaah menteri kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia supaya mengisytiharkan darurat bagi bahagian pilihan raya parlimen Gerik, Perak dan bahagian pilihan raya negeri Bugaya, Sabah," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pengisytiharan proklamasi darurat ini berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 dan Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh 16 Januari 2021 yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK tersebut ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian bagi kerusi Parlimen Gerik dan DUN Bugaya dijalankan serentak pada 16 Jan tahun depan.

Hari penamaan calon kedua-dua PRK itu ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari.

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 November.

Terdahulu, Muhyiddin berkata bahawa jemaah kabinet pada 4 Disember membincang secara terperinci akan kesan PRK Gerik dan Bugaya jika diadakan pada masa pandemik Covid-19.

"Mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini, jemaah menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam.

"Saya bagi pihak jemaah menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan," katanya.

Untuk rekod, pengisytiharan darurat serentak di Gerik dan Bugaya hari ini merupakan kali kedua selepas Seri Paduka memberi perkenan pengisytiharan darurat yang sama bagi PRK Batu Sapi, pada 18 November yang lalu.

PRK Batu Sapi itu perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Keong pada 2 Oktober lalu akibat jangkitan paru-paru. SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November dan hari pengundian pada 5 Disember.

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh Proklamasi Darurat yang diisytiharkan di kawasan berkenaan.

Lihat Komen
ADS