Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesakit Covid-19 mengadu terpaksa menunggu lama di rumah

Ada sejumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 di kawasan Klang didakwa terpaksa menunggu berhari-hari di rumah sebelum mereka dibawa ke hospital.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang bertugas di kawasan Bandar Sultan Suleiman, Lee Fu Haw, berkata dia menerima 10 aduan daripada pesakit atau ahli keluarga yang meluahkan kebimbangan berhubung risiko yang bakal dihadapi susulan kelewatan tindakan itu.

Kata Lee kebanyakan pengadu merupakan pekerja kilang syarikat teknologi komunikasi, Winstron Malaysia, yang menurutnya dikaitkan dengan Kluster Seruling, sementara yang lain berasal dari latar belakang yang berbeza.

Sehingga tengah hari semalam, kluster terbabit merekodkan 1,297 kes positif. Penularan dari kluster itu juga menjejaskan 11 kawasan di Selangor, Perak dan Melaka.

“Terdapat kes pekerja terpaksa menjalani kuarantin di rumah beberapa hari selepas disahkan positif sebelum ambulans datang untuk mengambil mereka.

“Dalam salah satu kes, pesakit dibawa ke hospital pada hari kesembilan dan hanya tinggal satu malam di hospital sebelum dibenarkan keluar,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Lee yang turut terlibat dalam usaha untuk membendung penularan Covid-19 berkata, terdapat juga kes membabitkan pekerja kilang - yang tinggal di Teluk Panglima Garang - didapati positif dan mengambil inisiatif untuk melakukan ujian saringan buat ahli keluarganya.

Diminta tunggu ikut senarai

Ujian tersebut, katanya, kemudian mendapati tiga daripada ahli keluarga pekerja kilang berkenaan - yang berumur 81, 54 dan 14 - positif.

“Pekerja itu disaring pada 4 Dis dan keputusannya menunjukkan dia positif pada 7 Dis. Pada hari dia disahkan positif itulah dia membawa ahli keluarga lain untuk menjalani ujian saringan di makmal swasta.

“Malangnya, tiga dari mereka didapati positif. Pekerja terbabit - selepas didapati positif (pada 7 Dis) - dia tidak dibawa ke hospital selepas dua hari.

"Selepas saya dimaklumkan, dia telah dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat,” katanya lagi.

Lee Fu Haw

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan reaksi mereka terhadap dakwaan berkenaan.

Berdasarkan kes terkini, Lee berkata dia menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai isterinya yang masih dibiarkan berada di rumah mereka walaupun selepas lima hari disahkan positif.


Baca 'Pesakit lambat dibawa ke hospital kerana tiada integrasi data makmal swasta'


Meskipun mencatat suhu badan, Lee menambah, wanita itu sehingga kini tidak dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

“Lelaki ini telah menghubungi talian kecemasan 999 dengan harapan untuk memastikan isterinya dibawa ke hospital, tetapi mereka minta isterinya tunggu mengikut senarai nama.

“Mereka memberitahu jika isterinya dalam keadaan serius, baru hubungi mereka semula. Katanya lagi, tiada khidmat ambulans kecemasan disediakan,” tambahnya.

Selain Lee, Malaysiakini turut menerima aduan secara terus daripada seorang ahli keluarga pesakit Covid-19 yang berkaitan dengan Kluster Seruling.

Dia - merupakan seorang bapa - menghantar e-mel dan memberitahu anaknya kuarantin di rumah selama tiga hari selepas disahkan positif. Anaknya juga kini tinggal serumah bersama isteri dan anak kecil mereka.

Susulan itu, Malaysiakini menghubungi pesakit tersebut yang juga merupakan pekerja Wistron dan tinggal di kawasan Gombak.

Menurut pesakit itu- yang tidak dinamakan bagi menjaga privasi - dia dan rakan sekerjanya menjalani ujian saringan pada 3 Dis dan keputusan diterima empat hari selepas itu.

“Selepas positif, saya tinggal lima hari di rumah. Saya dibawa dengan ambulans ke hospital petang hari Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, saya tinggal tak sampai sehari di sana kerana pagi esoknya saya dikeluarkan dari hospital. Doktor berkata saya sudah melakukan saringan,” katanya lagi.

Pesakit itu turut mengesahkan kenyataan Lee berkenaan ramai rakan sekerjanya lewat dibawa ke hospital meskipun sudah disahkan positif wabak itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS