Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee jangan membisu isu feri Pulau Pinang, kata Lim
Diterbitkan:  Dec 20, 2020 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa Menteri Pengankutan Wee Ka Siong untuk mengarahkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menghentikan persiapan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang “ikonik”.

Lim menggesa Wee mengarahkan dua badan itu memudahkan penerusan perkhidmatan feri seperti biasa pada 1 Jan 2021, setelah CEO PPSB Sasedharan Vasudevan mengumumkan perkhidmatan itu akan dihentikan pada 31 Dis.

"Wee harus berhenti membisu dan mengarahkan kedua-dua PPC dan PPSB menghentikan persiapan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik tetapi sebaliknya memudahkan penyambungan segera perkhidmatan seperti biasa pada 1 Januari 2021.

“Sejak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memenuhi permintaan saya di parlimen pada 17 Disember 2020 untuk meneruskan perkhidmatan feri yang berusia 126 tahun, masih belum ada sebarang makluman daripada Wee, PPC dan PPSB sama ada perkhidmatan itu akan diteruskan seperti yang diarahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim turut berkata dia dan bekas menteri pengangkutan Anthony Loke tidak pernah mencadangkan penamatan perkhidmatan feri itu, seperti yang dibayangkan Wee dalam satu hantaran Facebook.

Lim Guan Eng telah menuduh kerajaan PN mengkhianati Pulau Pinang dan tiada belas kasihan berhubung penamatan...

Posted by Wee Ka Siong on Thursday, December 17, 2020

Kata bekas ketua menteri Pulau Pinang dan bekas menteri kewangan itu, dakwaan itu palsu bahkan Wee tidak dapat menunjukkan bukti atas tuduhan yang dibuatnya.

"Tengku Zafrul juga telah mengesahkan bahawa saya telah meletakkan syarat secara bertulis ketika saya menjadi menteri kewangan, agar perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat diteruskan sebagai pertukaran dengan pembayaran insentif tunai RM30 juta kepada PPSB".

Jelasnya, ini bertentangan dengan keputusan Wee dan Pengerusi PPC Tan Teck Cheng untuk menamatkan perkhidmatan feri pada 31 Disember 2020, tanpa mempedulikan sentimen terhadap nilai sejarah dan warisannya yang unik.

"Tan bahkan mengatakan bahawa keputusan untuk memberhentikan feri berusia 126 tahun itu didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik," kata Lim lagi.

Menyifatkan rakyat Pulau Pinang dikhianati dalam isu itu, Lim mempersoalkan apakah kementerian pengangkutan mampu mengabaikan syarat bagi meneruskan perkhidmatan feri oleh kementerian kewangan, melalui dana RM30 juta kepada PPSB untuk memudahkan pengambilalihan perkhidmatan berkenaan.

Terdahulu minggu ini, Sasedharan memberitahu The Star bahawa semua persiapan sudah disediakan untuk pengambilalihan itu dan tiga waterbus akan digunakan, hanya untuk mengangkut penumpang.

Sasedharan berkata kebanyakan feri berusia lebih 40 tahun dan menelan kos penyelenggaraan yang tinggi.

"Feri-feri yang ada sekarang sudah lama dan susah hendak mencari alat-alat ganti. Itulah sebabnya kita akan gunakan waterbus," katanya.

Lihat Komen
ADS