Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan - Tengku Zafrul
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

PARLIMEN l Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan mengikut syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.

"Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan sebelum ini, akan dibayar secara dua ansuran tahunan, iaitu RM15 juta untuk 2021 adalah termasuk dalam peruntukan yang diluluskan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

"Baki RM15 juta akan disediakan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu berkaitan perkhidmatan feri Pulau Pinang dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan akan dihentikan bermula 1 Januari depan.

Perkhidmatan feri yang digunakan bagi menghubungkan kawasan tanah besar Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri ini sejak 126 tahun lalu akan diganti dengan bot penumpang laju.

Manakala feri sedia ada pula hanya akan diguna sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, baru-baru ini, kerajaan negeri meminta pihak Kementerian Pengangkutan supaya menangguhkan terlebih dahulu hasrat menghentikan perkhidmatan feri selama tiga bulan mulai 1 September sebagaimana makluman kepada setiausaha kerajaan negeri sebelum ini.

Lihat Komen
ADS